Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran menafikan beliau tiada masa untuk melawat ke kawasan parlimennya, seperti didakwa oleh sebuah jawatankuasa sementara yang berusaha membina tugu peringatan di Gunung Cheroh, Ipoh.

Menurutnya, pejabat beliau tidak menerima jemputan rasmi berkenaan satu majlis yang diadakan pada 24 Februari dalam usaha membina satu tugu peringatan berhubung insiden runtuhan di Kampung Kacang Putih yang meragut lebih 40 nyawa pada tahun 1973.

"Saya sudah periksa dengan pejabat kawasan parlimen. Memang mereka membuat panggilan untuk menjemput saya ke majlis tersebut. Tetapi, saya ke Sabah hari tersebut.

“Jadi, pejabat saya kata saya tidak dapat ke majlis tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

"Pejabat saya juga meminta jawatankuasa tersebut untuk menghantar satu surat rasmi supaya kami boleh hantar wakil. Sehingga, kini kami tidak menerima sebarang surat," jelasnya.

Terdahulu, jawatankuasa sementara yang berusaha membina satu tugu peringatan di Gunung Cheroh kesal dengan Kulasegaran yang menurutnya terlalu sibuk untuk melawat majlis di tapak insiden runtuhan tersebut.

S Arumugam, 40, berkata usaha penduduk tempatan untuk membina satu tugu peringatan di tapak runtuhan (dulu dikenali Kampung Kacang Putih) Gunung Cheroh masih tidak mendapat reaksi positif Kulasegaran yang juga ahli parlimen Ipoh Barat.

"Beliau adalah ahli parlimen kawasan ini. Usaha kami untuk membawa beliau ke kawasan runtuhan ini untuk membina satu tugu peringatan masih tidak dilaksanakan selepas salah seorang pembantu menteri kata bahawa 'menteri tiada masa untuk hadir ke tapak tersebut'.

"Kami kesal dengan pembantu beliau yang bekerja di pejabat parlimen menteri. Kerana kami beliau menjadi ahli parlimen dan seterusnya dipilih menjadi menteri. Sekarang kata tiada masa untuk kami," kata Arumugam kepada Malaysiakini.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan menteri mungkin tidak dimaklum mengenai permintaan mereka.

"Saya tidak menolak kemungkinan menteri tidak dimaklumkan. Jadi, saya harap lepas ini YB kami akan melawat ke tapak tersebut," jelasnya lagi.

Mengulas lagi, Kulasegaran berkata pejabat kawasan parlimen buka 24 jam.

"Dari kecil saya mengetahui insiden tersebut. Dan saya cuba mendapatkan iktiraf daripada kerajaan negeri sebelum membina sebarang tugu peringatan," katanya.

"Bukan sahaja, Kampung Kacang Putih, saya juga cuba mendapatkan pengiktirafan pengorbanan Sybil Karthigesu merupakan pejuang Tanah Melayu yang menyelamatkan ramai nyawa khususnya beratus-ratus kaum Cina semasa Pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Dalam pada itu, Arumugam turut berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang menyambut baik hasrat penduduk tempatan untuk membina satu tugu peringatan di Gunung Cheroh.

"Kami telah pun menubuhkan satu jawatankuasa sementara bagi tujuan ini. Tugu peringatan yang dicadangkan oleh jawatankuasa tersebut wajib kerana hampir 30 individu yang meninggal dunia ketika insiden tersebut masih tertanam di bawah runtuhan batu besar.

"Setiap, keluarga mangsa ke sini untuk membuat sembahyang khas. Tetapi, baru-baru kami nampak ada segelintir orang yang tidak bertanggungjawab membuang sampah kontrak di kawasan tersebut.

Justeru, beliau bersama penduduk tempatan serta ahli-ahli keluarga mangsa meminta kerajaan Pakatan Harapan agar membina satu tugu peringatan di kawasan tersebut.

"Walaupun, mangsa-mangsa tertimbus dalam runtuhan tersebut merupakan kaum India, penduduk tempatan berbangsa Melayu turut menyokong usaha kami," jelasnya sambil menambah tugu peringatan tersebut boleh dijadikan sebagai kawasan pelancongan kerana ia terletak berhampiran sebuah kuil Hindu dan tokong Cina yang dikunjungi pelancong.

"Kami nak ahli parlimen kami segera memberi perhatian khas dengan permintaan kami. Kalau boleh datanglah ke majlis bagi anjuran kami bersama MBI pada 24 Februari yang diadakan di tapak runtuhan tersebut," ujarnya.

Untuk rekod, pada 18 Oktober 1973, lebih 40 orang penduduk Kampung Kacang Putih di kaki gunung ini terbunuh apabila sebahagian gunung ini runtuh akibat batu kapur yang larut selepas hujan.

Usaha mencari dan menyelamat hanya mampu menemui 12 mayat manakala kira-kira 30 lagi mayat, masih tertanam di bawah batu besar itu dan gagal di bawa keluar sehingga kini.