Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Putrajaya tak campur urusan Felda, kata Azmin
Diterbitkan:  Feb 12, 2019 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menegaskan Putrajaya tidak akan mencampuri pertikaian dibangkitkan Felda yang bercadang melupuskan pegangan dalam PT Eagle High Plantations Tbk, milik syarikat pelaburan Indonesia, Rajawali Group.

Azmin berkata beliau percaya pihak pengurusan Felda akan membuat keputusannya dalam menyelesaikan perkara berkenaan secara baik dengan syarikat pelaburan dari Indonesia itu.

“Pihak lembaga sudah putuskan dan melihat perkara berkenaan secara mendalam. Kita tidak masuk campur keputusan yang dibuat oleh ahli lembaga.

“Biarlah proses ini berjalan dahulu dan mereka boleh selesaikan perkara ini secara baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra sambutan Tahun Baru Cina Persatuan Hokkien Malaysia di Subang Jaya, hari ini.

Terdahulu The Straits Times Singapura melaporkan, Felda menuntut kembali AS$500 juta (RM2.03 bilion) yang ia laburkan ke atas ladang kelapa sawit dan aset pengeluaran berkaitan gula di Indonesia pada Mei 2017.

Akhbar itu turut menyatakan, lembaga pengarah Felda dikatakan memutuskan untuk melaksanakan tindakan berkenaan dalam satu surat bertarikh 3 Januari lalu kepada Rajawali Group.

Rajawali Group adalah syarikat milik jutawan Indonesia, Peter Sondakh.

Bawah perjanjian itu, Eagle High dikehendaki memastikan pensijilan Roundtable on Sustainable Palm Oil, akreditasi diiktiraf di peringkat antarabangsa yang membolehkan akses ke pasaran utama dijalankan sebelum akhir 2019.

Pengurusan Felda dikatakan mengambil maklum Rajawali Group sudah membuat sedikit kemajuan dalam mendapatkan pensijilan itu tetapi terpaksa membatalkan perjanjian itu.

Pengurusan Rajawali Group yang turut terbabit dalam pelbagai segmen perniagaan lain seperti telekomunikasi, pertanian, peruncitan dan perlombongan bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan mengenai perkara ini.

Kerugian kewangan yang berterusan sejak tahun 2013 meletakkan tekanan serius terhadap aliran tunai dan keupayaan Felda membayar beban hutangnya yang melonjak kepada lebih RM8 bilion pada pertengahan 2018 daripada RM1.5 bilion pada tahun 2009.

Sementara itu, disoal perkembangan terkini projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) antara Malaysia dengan China, Azmin berkata tidak ada.

“Tak ada,” katanya ringkas.

Diminta mengulas laporan berhubung bekas timbalan ketua pemuda PKR (AMK) Dr Afif Bahardin dan ketua pemuda parti itu yang baru, Akmal Nasir, Azmin enggan mengulas lanjut.

“Tak apa Afif pun dah beri jawapan, biarlah,” katanya.

Lihat Komen
ADS