Tengok muka saya, totok Melayu, kata Muhyiddin
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin hari ini mengulangi kenyataan kontroversi terdahulu yang dibuatnya “Saya Melayu terlebih dahulu".
Dalam lawatannya ke ke Batalion 4, Pasukan Gerakan Am di Semenyih, hari ini beliau menyangkal dakwaan bahawa kerajaan Pakatan Harapan adalah anti-Melayu dan anti-Islam.
“Tuduhan kerajaan PH ini anti-Melayu dan anti-Islam, tengok muka saya, totok Melayu, saya pernah buat kenyataan Malay first, ada orang marah, tapi memang (itulah) saya,” katanya kepada kira-kira 500 anggota PGA.
Lawatan beliau itu adalah empat hari sebelum hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil Semenyih pada 2 Mac ini. Ia adalah lawatan keduanya ke Semenyih selepas tarikh pilihan raya itu diumumkan.
“Mungkin ada pihak tertentu yang sengaja nak putar-belit katakan isu ini, isu sensitif.
“Kalau ada orang Melayu kata hak (akan) Melayu dihapus, dia akan marah, saya (pun) akan marah, saya tak rela hak orang Melayu terhapus,” katanya.
Muhyiddin juga memaklumkan bahawa terdapat 16 menteri Melayu yang menganggotai kabinet PH.
“Kalau kata mereka (PH) telah korbankan hak orang Melayu, kalau ada di sini cakap boleh jumpa saya dan beritahu apanya yang telah dikorbankan (itu).
“Ini hak kita dalam perlembagaan persekutuan, termaktub dan tak ada sesiapa boleh hapuskan, (termasuk) kerajaan mana sekalipun.
“Adalah satu kewajipan yang tidak boleh diabaikan apa yang termeterai dalam perlembagaan, hak orang Melayu, kedudukan Raja-raja, soal bahasa (Melayu), soal Islam, perkara pokok itu tetap kekal,” katanya.
Muhyiddin yang juga adalah presiden Bersatu turut menafikan dakwaan pembangkang bahawa DAP menguasai kerajaan PH.
“Di sini, kita tidak ditunggang oleh sesiapa, (pemimpin veteran DAP Lim) Kit Siang tak tunggang Dr Mahathir (Mohamad).
“Boleh? Mustahil, sebab itu saya nak jelaskan ini tidak berlaku, apa lagi hak-hak lain ataupun DAP kuasai kerajaan, saya dengar sakit hati, sejak bila DAP kuasai kerajaan,” katanya.

