Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengalu-alukan tindakan saman salah seorang pengundi berdaftar Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih terhadap pihaknya.

Pengerusi SPR, Azhar Harun berkata, ia memberi peluang kepada mahkamah menilai hujah daripada kedua-kedua pihak dan membuat keputusan bagi panduan kepada semua.

"Saya fikir tindakan undang-undang terhadap SPR adalah satu perkara yang baik. Sesiapa yang berfikir bahawa SPR melakukan salah, sila, dengan segala cara, menyaman SPR.

"Saya tidak suka tindakan undang-undang. Sebenarnya tindakan-tindakan awam ini adalah dialu-alukan. Inilah yang saya kerjakan ketika saya berlatih (sebagai seorang peguam).

"Pertama, ia menunjukkan bahawa rakyat kita lebih sedar tentang legality. Kedua, ia memberi peluang kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” kata Azhar menerusi ciapan di laman Twitternya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Sabariah Mohd Shariff yang mengemukakan saman pemula kepada SPR di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Saman itu bagi mencabar keabsahan SPR yang ketika ini hanya diwakili Azhar sebagai pengerusinya sahaja, berbanding yang ditetapkan iaitu perlu terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima ahli.

Selain SPR, saman itu juga menamakan Azhar sebagai defendan pertama dan kerajaan Persekutuan selaku defendan ketiga.

Peguam plaintif, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz memberitahu, melalui saman pemula tersebut, enam perkara dituntut dan pihaknya juga berharap mahkamah dapat bersidang bagi mendengar saman itu sebelum tarikh penamaan calon pada 16 Februari ini.

Tambah Azhar, beliau juga percaya dan yakin di atas kearifan mahkamah serta kebebasannya untuk membicarakan kes tersebut dengan sempurna mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

“Saya yakin kepada kearifan dan kebebasan mahkamah untuk membuat keputusan di dalam hal ini menurut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang kita,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan bekas timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar bahawa pilihan raya kecil (PRK) Semenyih perlu ditangguhkan memandangkan ia kini hanya mempunyai seorang pesuruhjaya, Azhar menegaskan SPR tidak akan berganjak dari keputusan sebelum ini.

"Perkara ini telah berada di mahkamah dan saya tidak dapat komen kerana sub judice. Namun pendirian SPR adalah seperti yang telah saya katakan tempoh hari dalam kenyataan akhbar mengenai sahnya SPR, juga dalam Jadual 11 Seksyen 33C Perlembagaan Persekutuan.

"SPR akan pertahankan kedudukan seperti yang dinyatakan terdahulu," katanya.

Azizan sebelum ini menegaskan kedudukan SPR ketika ini tidak terjejas dari segi perundangan walaupun berlaku kekosongan jawatan anggota-anggota suruhanjaya yang masih belum diisi sehingga hari ini.

Menurut Azhar, segala tindakan yang dibuat suruhanjaya itu mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan juga selaras dengan nasihat perundangan Jabatan Peguam Negara pada 28 Dis 2018.

Sementara itu, Wan Ahmad Yang dihubungi Malaysiakini bagi mengulas sejauh mana kedudukan dua PRK yang dikendalikan SPR ekoran PRK Semenyih ditangguhkan ekoran isu kesahihan SPR, beliau berkata ia tidak ada masalah.

“Semua PRK sebelum ini adalah sah. Kerana setiap keputusan yg dibuat SPR bagi menjalankan urusan dua pilihan raya kecil berkenaan dibuat semasa SPR mempunyai korum keahliannya yang cukup, termasuk juga PRK Cameron Highlands kerana keputusan-keputusan berkaitan PRK tersebut dibuat sebelum tarikh 1 Jan, iaitu sebelum perletakan jawatan enam anggotanya,” katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS