Tiada mana-mana bahagian dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak akan dibubarkan, demikian tegas Pengerusi Bersatu Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Sebaliknya, Menteri Besar Perak itu menjelaskan hanya jawatankuasa bahagian yang didapati tidak berfungsi akan dibubarkan dan perlu diperbaiki dengan membuat pelantikan baharu.
“Saya menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan dalam mesyuarat itu kita putuskan ada sebilangan besar bahagian Bersatu di Perak ini mempunyai masalah antaranya; barisan jawatankuasanya telah keluar daripada parti, tak aktif dan tak dapat dikesan.
“Maka kepimpinan Bersatu pusat membuat keputusan untuk membubarkan jawatankuasa di bahagian-bahagian tersebut. Ini bukan bubarkan Bahagian sebab untuk bubarkan Bahagian perlu melalui RoS (Pendaftar Pertubuhan) dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Iskandar daerah Perak Tengah, di sini, hari ini.
Ahmad Faizal mengulas kenyataan bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman di laman sosial Facebook miliknya semalam mengenai terdapat tiga bahagian Bersatu yang akan dibubarkan.
Menurut Hamidah tiga bahagian itu adalah Gerik, Lenggong dan Bagan Serai.
Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata pembubaran jawatankuasa berkenaan adalah satu usaha daripada segi pentadbiran oleh Bersatu di peringkat pusat untuk memperkemaskan jentera parti.
-- Bernama
