Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN, PH umum calon PRK Semenyih esok
Diterbitkan:  Feb 13, 2019 8:54 AM
Dikemaskini: 12:57 AM

PRK SEMENYIH | BN dan Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon mereka pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih secara berasingan di kawasan itu esok, menurut bahan promosi yang dikeluarkan kedua-dua gabungan parti.

Calon BN akan diumumkan oleh pengerusi gabungan itu Mohamad Hassan di Plaza Dato Mohd Said pada pukul 5 petang, dua hari sebelum hari penamaan calon pada 16 Februari.

PH pula akan mengumumkan calon mereka sejam lebih awal di pusat khidmat Semenyih di Taman Pelangi.

Secara kebetulan, bekas perdana menteri Najib Razak dijadual melawat pasar raya Tesco di Semenyih malam ini yang terletak  lebih satu kilometer dari majlis pengumuman calon PH.

Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) akan mengumumkan calonnya pada jam 8.30 malam ini.

Satu-satunya calon bebas yang diketahui setakat ini adalah aktivis sosial Kuan Chee Heng, yang menyatakan hasrat untuk bertanding awal bulan ini.

Pilihan raya kecil Semenyih diadakan pada 2 Mac berikutan kematian penyandangnya dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Bakhtiar Mohd Nor.

Bakthiar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri itu pada pilihan raya umum tahun lepas dengan majoriti 8,964 undi menewaskan calon BN, Johan Abd Aziz, calon PAS, Mad Shahmidur Mat Kosim dan calon PSM, S Arutchelvan.

 

Lihat Komen
ADS