Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hanipa: Kelayakan akademik isu etika, tak libat undang-undang
Diterbitkan:  Feb 13, 2019 9:10 AM
Dikemaskini: 1:10 AM

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata isu kelayakan akademik yang melibatkan beberapa menteri kabinet tidak membabitkan perundangan sebaliknya ia menyentuh isu etika.

Menurutnya kelayakan akademik bukan menjadi persoalan utama tetapi rakyat menilai dari aspek kejujuran lapor Sinar Harian.

“Ia perlu dilihat daripada sudut kejujuran dan bukan kelayakan akademik sangat. Jadi, kalau daripada segi tindakan perundangan, tidak ada,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Mohamed Hanipa mengulas sama ada tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap anggota Kabinet jika terbukti mereka melakukan penipuan kelayakan akademik.

Mohamed Hanipa berkata, masyarakat tidak boleh berkompromi mengenai pembohongan dan kejujuran adalah satu perkara yang dituntut daripada ahli politik.

Menurutnya, beliau percaya isu itu akan diselesaikan mengikut perlembagaan parti masing-masing yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH).

Isu pemalsuan sijil itu timbul selepas Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya menjadi perhatian apabila ada laporan polis mendakwa beliau tidak menamatkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Cambridge di UK.

Beliau kemudian menjelaskan ijazahnya daripada Cambridge International University (CIU) di Amerika Syarikat.

Marzuki yang juga setiausaha agung Bersatu turut menunjukkan transkrip akademik dan ijazahnya itu selepas dilanda kritikan pelbagai pihak.

Namun transkrip tersebut ada kejanggalan, apabila semakan Malaysiakini mendapati gred di transkripnya serupa dengan transkrip contoh (template) di laman CIU.

CIU juga didakwa sebagai 'kilang pengeluar sijil'.

Selain Marzuki, beberapa lagi pemimpin PH yang dilanda dakwaan sama ialah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Menteri Besar Johor Osman Sapian dan Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong.


Lihat Komen
ADS