Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johan saran pengamal media M'sia, Indonesia guna media sosial

Pengamal media di Malaysia dan Indonesia perlu menggunakan platform baharu mendekati generasi milenial bagi memastikan hubungan kedua-dua negara terus kekal baik, kata bekas Pengerusi Media Prima Berhad Tan Sri Johan Jaafar.

Beliau berkata pengamal media kini tidak lagi boleh bergantung kepada platform konvensional sahaja, sebaliknya perlu menggunakan media baharu untuk mendekati golongan ini.

“Kita harus menerima hakikat bahawa media sosial memainkan peranan sangat penting terhadap kehidupan generasi muda, dan oleh itu kita tidak boleh bergantung kepada media konvensional untuk mendekati generasi milenial.

“Dalam hubungan Malaysia dan Indonesia ini kita perlukan platform baharu bukan sahaja dalam bentuk media tradisional tetapi media sosial kerana bagi generasi milenial ini, mereka tidak lagi melihat batas geografi dan politik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam sempena lawatan Muhibah delegasi Media Indonesia ke Malaysia di Putrajaya, malam ini.

Turut hadir pada majlis anjuran Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia di sini malam ini ialah Timbalan Presiden Iswami Malaysia Datuk Zulkifli Hamzah, Presiden Iswami Indonesia Asro Kamal Rokan, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Penasihat Media Kumpulan Karangkaraf Datuk Abdul Jalil Ali.

Sementara itu, Zakaria berkata ISWAMI merupakan satu-satunya inisiatif media yang efektif dalam memupuk persefahaman antara pengamal media Malaysia dan Indonesia sehingga dalam lapan tahun kebelakangan ini, tidak ada lagi isu-isu besar antara kedua-dua negara.

“Saya pernah mengikuti empat perjumpaan Pers Nasional Indonesia, mendapati bahawa persefahaman yang terjalin antara pemimpin media Malaysia dan Indonesia sangat akrab, seperti saling mengundang ke majlis kenduri kendara dan saling menziarahi jika ada mereka yang sakit. Ini mustahil terjadi jika tidak saling mengenali melalui ISWAMI,” katanya.

Zakaria berkata, bagaimanapun di alaf baru ini yang lebih penting, ISWAMI terus memperkasakan hubungan baik antara kedua-dua negara terutama melibatkan generasi milenial.

Katanya, Bernama dan agensi berita Indonesia Antara, akan terus berperanan bertukar-tukar berita, gambar, dan video seperti yang telah terjalin sejak sekian lama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS