Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Tanah Merah sertai Bersatu, anak tetap pilih Umno

Keputusan Anggota Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tidak sedikitkan menjejaskan keyakinan anaknya Ikmal Hazlan untuk terus berjuang bersama Umno.

Menurut ketua pemuda Umno bahagian Tanah Merah itu, beliau akan kekal bersama Umno walaupun bapanya membuat keputusan berkenaan.

"Silaturrahim antara anak dan ayah tidak akan putus namun prinsip perjuangan memisahkan kami.

"Saya masih yakin dan percaya bahawa Umno sahaja parti yang mampu memelihara kepentingan Islam dan orang Melayu.

"Ditambah pula dengan perkembangan terkini menyentuh hubungan kerjasama baik antara Umno dan PAS pastinya memberikan harapan besar kepada majoriti orang Melayu Islam untuk mempertahankan hak dan kepentingan mereka," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Ikmal Hisham bersama enam bekas anggota parlimen Umno disahkan menyertai Bersatu.

Mereka terdiri daripada anggota parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsuddin, Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

Sementara itu, Ikmal Hazlan berkata, pihaknya mengucapkan selamat maju jaya kepada Ikmal Hisham di atas penghijrahan itu dan mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan beliau kepada Umno Tanah Merah selama berkhimat.

"Sesungguhnya kekuatan Umno Tanah Merah hari ini adalah juga hasil titik ahli-ahli yang pernah diketuainya.

"Namun begitu, asas yang telah dibina itu juga merupakan garis ukur mengapa Pemuda Umno Tanah Merah merupakan generasi yang akan menjadi pendorong kepada parti ini pada masa akan datang.

"Ini adalah peluang terbaik di mana anak anak muda Tanah Merah boleh mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti keremajaan yang telah dirancang oleh Pemuda Tanah Merah. Umno pasti akan bangkit kembali," jelasnya. 

Lihat Komen
ADS