'Semangat Cameron Highlands sudah hadir di Semenyih'
PRK SEMENYIH | Naib Presiden Umno Ismail Sabri percaya "semangat baru" yang diperoleh BN dari kemenangan di pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands sebelum ini diteruskan di PRK Semenyih.
Ismail berkata, perkara itu akan berlaku meskipun kedua-dua kawasan PRK mempunyai demografik pengundi yang berbeza.
"Semangat Cameron Highlands nampaknya sudahpun timbul di Semenyih.
"Kemenangan di Cameron Highlands saya percaya memberi semangat baru kepada ahli Umno dan jentera Umno dan keyakinan lebih tinggi apabila kita menang besar di Cameron Highlands," kata Ismail dalam sebuah klip video akaun Youtube 'Sahabat Gunung' hari ini.
Pada PRK Cameron Highlands 26 Jan lalu, BN berjaya mempertahankan kerusi itu dengan 3,238 majoriti undi, yang merupakan kenaikan ketara berbanding kemenangan tipis (597 majoriti undi) gabungan itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Mengulas lanjut, Ismail berkata Semenyih mempunyai tiga kategori pengundi berbanding Cameron Highlands yang hanya mempunyai satu kategori pengundi.
Jelas Ismail, Cameron Highlands hanya mempunyai satu kategori pengundi iaitu pengundi luar bandar. Sementara Semenyih, katanya, mempunyai pengundi luar bandar, pinggir bandar dan pengundi bandar.
"Pengundi luar bandar masih lagi pengundi tegar kita
"Ini merupakan satu perubahan kategori pengundi. Jadi pendekatan-pendekatan tentunya berbeza," katanya.
Ismail turut berkata kemenangan di Cameron Highlands memberi kesan besar dari segi kerjasama Umno dengan PAS, selain pertambahan sokongan pengundi Melayu.
PRK Semenyih akan diadakan 2 Mac dengan penamaan calon berlangsung Sabtu ini.

