Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undang-undang benarkan SPR laksana pilihan raya
Diterbitkan:  Feb 13, 2019 5:09 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Undang-undang membenarkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil langkah-langkah drastik bagi memastikan pilihan raya dapat dijalankan walaupun dalam situasi luar biasa.

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, ia termasuk membuat keputusan mengenai pilihan raya kecil (PRK) dan melantik setiausaha mesyuarat yang bukan daripada suruhanjaya berkenaan.

“Pada saya senario ini sesuatu yang amat jarang berlaku dan inisiatif Pengerusi SPR adalah sesuatu yang munasabah. Ia bukan sesuatu yang disengajakan apalagi dirancang. Dengan ini, isu mesyuarat tidak sah mengenai Semenyih dan lain-lain tidak berbangkit.

“Undang-undang membenarkan langkah luar biasa dan drastik diambil iaitu apa sahaja yang perlu untuk memastikan SPR dapat menjalankan fungsi yang telah diamanahkan oleh Perlembagaan.

“Lagipun ia masih diputuskan oleh pengerusi yang sah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, baru-baru ini dilaporkan berkata, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih perlu ditangguhkan sementara menunggu prosiding mahkamah mengenai legitimasi SPR kerana suruhanjaya itu kini dikendalikan oleh seorang individu sahaja tanpa anggota suruhanjaya yang lain.

Semua enam anggota SPR meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Tribunal telah ditubuhkan untuk menyiasat berhubung peranan semua mereka dalam persiapan dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-14 ketika sebelum dan pada hari pengundian 9 Mei 2018.

Sebelum ini, seorang pengundi di kawasan DUN Semenyih memfailkan saman pemula terhadap Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, memohon pengisytiharan bahawa entiti SPR tidak wujud dan tidak sah daripada segi undang-undang selepas 1 Januari lalu.

Azhar Azizan Harun

Aziz berkata mengadakan pilihan raya adalah satu tanggungjawab yang diletakkan di bahu SPR oleh Perlembagaan dan ia tidak boleh ditangguhkan atas sebab yang remeh.

Aziz menjelaskan walaupun kekosongan jawatan ekoran perletakan jawatan beramai-ramai anggota suruhanjaya itu, ia tidak menjadi masalah kepada SPR untuk menjalankan tanggungjawab, langkah terbaik adalah mengisi kekosongan itu.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang juga Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan Sabtu ini, manakala hari mengundi awal pada 26 Februari dan pengundian pada 2 Mac.

- Bernama

Lihat Komen
ADS