Seorang lagi pemimpin Pakatan Harapan (PH) tampil membidas penerumaan bekas ahli parlimen Umno ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menyifatkan keputusan itu sebagai "salah sama sekali" dan pengkhianatan kepada rakyat yang mengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Hampir separuh (wakil rakyat) Bersatu hari ini adalah bekas wakil rakyat Umno. Kemungkinan bekas wakil rakyat Umno akan menjadi majoriti dalam Bersatu sangat menakutkan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ramkarpal berkata demikian sebagai mengulas tindakan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad memberikan kad keahlian kepada tujuh bekas ahli parlimen Umno.

Tujuh ahli parlimen itu ialah Mas Ermieyati Samsuddin (Masjid Tanah), Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), dan Rosol Wahid (Hulu Terengganu).

Dr Mahathir turut mempertahankan penerimaan Shabudin yang pada 2017, mencadangkan agar perogol kahwin dengan mangsa.

Mengulas perkara itu, Ramkarpal yang juga merupakan pengarah biro undang-undang DAP berkata, tiada bukti yang menunjukkan tujuh bekas ahli parlimen Umno itu sudah insaf selepas meninggalkan parti lama mereka.

"Bagi saya, mereka tidak ada beza pada hari ini berbanding sebelum ini.

"Menerima seseorang yang pernah kata dia terbuka menerima idea wanita kahwin dengan perogolnya dalam sebuah gabungan yang komited untuk perubahan sangat mengejutkan, kerana tindakan seperti itu mencerminkan agenda perubahan dipinggirkan," katanya.

Tambah Karpal, perkembangan ini merupakan isyarat pentingnya undang-undang antilompat parti diperkenalkan.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan sama ada bekas wakil rakyat Umno itu sudah melalui proses saringan seperti yang disebutkan perdana menteri sebelum ini.

"Bagaimana saringan ahli parlimen seperti itu, dapat meraih keyakinan rakyat semula, sehingga mereka hari ini bersih berbanding sembilan bulan lalu?

"Realitinya, orang ramai tetap skeptik meskipun ada saringan, kerana ahli parlimen ini orang sama yang tidak bersetuju dengan pendirian PH hari ini," katanya.

Awal hari ini, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek Ronnie Liu menyifatkan penerimaan bekas wakil rakyat Umno itu, yang disifatkannya sebagai "sampah", sebagai pengkhianatan terhadap mandat yang diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan.

Semalam Naib Presiden PKR Chang Lih Kang turut menyatakan rasa tidak setuju dengan keputusan itu.