Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai bomba buat laporan polis Adib dipukul tak lihat kejadian

INKUES ADIB | Seorang pegawai bomba memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini bahawa beliau membuat laporan polis yang arwah Muhammad Adib Mohd Kassim dipukul semasa kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman tahun lepas, walaupun beliau tidak melihat kejadian itu.

Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan 2 Balai Bomba Subang Jaya, Badrul Hisyam Salim@Ali, 39, berkata beliau membuat anggapan sedemikian berdasarkan pengalaman yang dialami pemandu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Ahmad Shahrill Othman yang dinaiki arwah Muhammad Adib​​​.

Saksi kelima itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah yang juga pegawai pengendali inkues pada hari ketiga prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib​​​.

Hamdan: Kamu buat laporan polis bersama Shahrill dengan mengatakan arwah mengalami kecederaan parah akibat ditarik dan dipukul oleh perusuh. Bagaimana kamu tahu arwah dipukul?

Badrul Hisyam: Saya memang tak nampak arwah dipukul tapi daripada cerita Shahrill mengatakan pintu vannya ditarik sekumpulan orang awam. Maka, saya beranggapan arwah pun mengalami keadaan seperti Shahrill.

Hamdan: Adakah kamu membuat pindaan terhadap laporan polis berkenaan?

Badrul Hisyam: Saya tak buat tapi saya telah memaklumkan perkara itu kepada pegawai penyiasat kes berkenaan.

Badrul Hisyam

Saksi itu juga berkata semasa kejadian, hubungan komunikasi antara jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van EMRS yang dinaiki arwah Muhammad Adib terputus hubungan.

Katanya beliau yang ketika itu berada di dalam jentera FRT cuba menghubungi van EMRS yang berada di belakangnya namun terputus hubungan.

"Saya guna alat komunikasi radio Girn (Goverment Integrated Radio Network) untuk menghubungi van EMRS yang dinaiki arwah Adib bersama Shahrill, namun ia terputus hubungan. Ia menunjukkan blind spot (tiada perhubungan).

"Ketika melihat orang awam dalam keadaan mencurigakan, saya mengarahkan anggota supaya tidak keluar dari FRT, namun Mohd Hazim Mohd Rahimi dan Anuar semangat keluar untuk memadamkan kereta yang sedang terbakar...bagaimanapun saya dengan pantas memberitahu anggota dalam jentera untuk memaklumkan kepada Mohd Hazim dan Anuar," katanya.

'Tiada tersepit'

Menceritakan lebih lanjut, saksi kelima itu berkata dalam keadaan yang tidak selamat itu, pemandu FRT Md Elizza Mohd Noor bertindak mengundur jentera dan dalam masa yang sama Mohd Hazim masih tidak berada dalam FRT.

"Bagaimanapun, Anuar sempat naik ke dalam FRT. Masa itu, saya rasa terancam, takut dan kaca di sebelah kiri pecah seribu. Saya juga pegang pintu kerana ada cubaan mengetuk pintu.

"Ketika berundur, jentera berpusing, mereka (perusuh) tidak mengikut kami. Saya fikir kalau mereka ikut, kami tak boleh keluar dari lokasi. Alhamdullilah mereka tak ikut sampai jentera berpusing," katanya sebelum FRT bergegas ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk membuat laporan polis.

Beliau juga berkata kehilangan arwah Muhammad Adib hanya disedari selepas beliau tiba di IPD berkenaan.

Menjawab soalan peguam Kamaruzaman Abdul Wahab yang mewakili keluarga arwah Muhammad Adib mengenai komunikasi di antara FRT dan van EMRS, Badrul Hisyam berkata beliau cuba menghubungi van EMRS tetapi komunikasi terputus dan tiada hubungan di antara kedua-dua jentera berkenaan selepas serangan.

Kepada soalan peguam pemerhati Syazlin Mansor bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Bomba, saksi itu berkata beliau tidak sempat menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi arwah ketika serangan itu berlaku.

Syazlin: Macam mana kamu tahu connection blind spot (tiada perhubungan)?

Badrul Hisyam: Ketika menggunakan Gern, ada tunjuk syarat ‘no connection’ (tiada perhubungan). Saya guna alat Gern semasa dan selepas serangan untuk menghubungi van EMRS tapi masih tak dapat dihubungi.

Syazlin: Kenapa tidak guna telefon bimbit?

Badrul Hisyam: Saya tak tahu mana telefon bimbit saya. Saya terpaksa melindungi diri dan tiada sebarang tindak balas daripada van EMRS.

Sementara itu, Ahmad Shahrill pula berkata beliau tidak keluar dari van EMRS kerana menganggapkan tindakan itu seperti bunuh diri.

Saksi ketiga itu berkata tiada sesiapa yang tersepit ketika van yang dipandunya berpusing sebelah kiri akibat dilanggar dari belakang oleh jentera FRT yang ketika itu berundur akibat diserbu sekumpulan orang awam.

Ketika ditanya peguam Kamaruzaman apa akan berlaku kepada seseorang jika berada di tepi kiri van, beliau berkata pasti orang itu akan tersepit di tengah-tengah antara jentera FRT dan van EMRS.

Ahmad Shahrill berkata beliau tidak sedar sama ada Muhammad Adib yang duduk sebelahnya dalam van itu ditarik keluar ataupun tercampak.

"Van diserang masa itu dan tak ada komunikasi antara saya dengan beliau (Muhammad Adib) sebab semua jaga diri masing-masing," katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

-Bernama

Lihat Komen
ADS