Paling Popular
Terkini

Kerjasama yang longgar di antara PAS dan Umno ketika ini wajar diikat dalam bentuk yang lebih kukuh seperti dicantumkan, kata Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.

Menurut beliau, langkah itu diperlukan bagi memastikan hubungan kerjasama kedua-dua parti lebih terjamin, sekali gus memudahkan gerak kerja mereka di semua peringkat.

Malah katanya, gabungan yang kukuh itu diyakini dapat membuahkan hasil positif khususnya untuk menguasai lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Umno Kelantan bukan saja bersetuju dengan kerjasama yang terjalin antara PAS dan Umno sebelum ini, sebaliknya mahu ia diteruskan dengan ikatan yang lebih kukuh.

"Beberapa kerjasama sudah dapat disaksikan sebelum ini termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, namun kita tidak mahu kerjasama itu berlangsung dalam konsep dan waktu tertentu sahaja.

"Justeru Umno Kelantan juga sudah menghantar satu memorandum beberapa bulan lalu kepada presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi supaya menyegerakan kerjasama dalam bentuk percantuman yang mana ianya seolah-olah gabungan sah dan didaftarkan," katanya pada sidang media selepas mengadakan makan malam bersama media di Kota Bharu, malam tadi.

Menurut Ahmad Jazlan, presiden Umno menyambut baik resolusi Umno Kelantan namun memaklumkan banyak proses perlu dilalui dan dibincangkan.

Belum jumpa PAS

PAS dan Umno ialah seteru tradisi dalam politik sehinggalah selepas PRU ke-13 dan beransur-ansur menjadi lebih akrab selepas PRU ke-14.

Daripada sekadar kerjasama longgar dan berselindung, kedua-dua parti kini secara terbuka bekerjasama - atau bertaawun mengikut istilah yang digunakan - termasuk mengadakan mesyuarat bersama.

Daripada empat PRK yang diadakan selepas PRU ke-14, baru sekali kerjasama itu membuahkan hasil iaitu di Cameron Highlands apabila calon mereka mengalahkan PH.

Sebagai rekod, PAS sebelum ini juga menegaskan kerjasama kedua-dua parti itu hanya melibatkan isu-isu kepentingan Islam dan Melayu selain dalam menghadapi PRK dan tidak lebih daripada itu.

Sementata itu Ahmad Jazlan berkata, Umno Kelantan tidak tahu sejauh mana maklum balas PAS berhubung perkara itu.

"Ini kerana secara peribadi dan rasmi Umno Kelantan sendiri belum mengadakan pertemuan dengan PAS Kelantan dan terserah kepada mereka.

"Ini hanya pandangan kami dan perkara baik tiada sebab untuk mereka tolak.

"Saya yakin jika percantuman berlaku majoriti kerusi milik Melayu dapat ditawan semula," jelasnya yang juga anggota parlimen Machang.

Lihat Komen
ADS