Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menjelang pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, MIC melahirkan keyakinan bahawa pengundi India di Semenyih akan kembali menyokong BN.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, M Veeran trend pengundi India di beberapa PRK kebelakangan ini menunjukkan masyarakat India kembali menyokong BN.

"Tinjauan kami mendapati bahawa pengundi India mula kembali menyokong kepada BN. Ini kerana mereka berasa ditipu oleh kerajaan Pakatan Harapan selepas janji-janji PRU14 (pilihan raya umum ke-14) tidak dilaksanakan.

"Kalau di PRK Cameron Highlands kami (BN) dapat hampir 40 peratus sokongan pengundi masyarakat India. Ini jauh lebih baik berbanding hanya 15 peratus pada PRU14.

“Begitu juga di PRK yang lain di mana sokongan pengundi India makin menyebelahi BN," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah beliau, MIC percaya bahawa trend ini akan berterusan di PRK Semenyih nanti.

Menjelaskan situasi semasa politik, Veeran mengesahkan bahawa masyarakat India berasa tidak puas hati dengan pemerintahan PH yang didakwa tidak memberi perhatian dengan kepentingan masyarakat India.

"Ini kita boleh nampak melalui media sosial di mana netizen khususnya kaum India yang sering mengkritik pemimpin-pemimpin PH.

“Mereka rasa ditipu oleh PH dengan janji-janji manis di PRU yang lalu," tegas beliau sambil menambah tinjauan MIC di Semenyih turut mendapat reaksi yang sama.

Menurutnya, taraf kehidupan masyarakat India di Semenyih masih tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan kehidupan kawasan-kawasan pedalaman yang lain.

"Kami turun di Broga, Rinching, Sungai Lalang, Taman Manickavasagam, Bandar Kesuma dan tempat-tempat lain. Maklum balas adalah lebih kurang yang sama seperti isu kebajikan, masalah kewangan dan kaum India sering diketepikan dalam program-program kerajaan negeri.

"Sudahah, PH kritik BN tidak bantu masyarakat India. Ini di Semenyih 11 tahun bawah PH, cara kehidupan masih sama," dakwa beliau lagi.

Ujarnya, MIC percaya bahawa kemarahan masyarakat India terhadap PH akan memberi kelebihan kepada BN pada PRK nanti.

PRK Semenyih diadakan ekoran kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor akibat serangan jantung, pada 11 Januari 2019.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih akan diadakan pada 2 Mac 2019.

Hari penamaan calon pula akan diadakan pada 16 Febuari manakala hari mengundi awal pada 26 Februari.

Pengundi India terdiri daripada 13.3 peratus iaitu 7,062 daripada jumlah 54,503 pengundi di kerusi DUN tersebut.

Lihat Komen
ADS