Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

"Sebelum dipenjarakan di sini, saya bersama rakan-rakan 'dipenjarakan' hampir tiga minggu di sebuah banglo tiga tingkat".

Itu cerita seorang daripada 47 rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang kini ditahan pihak berkuasa Kemboja kerana disyaki terbabit dengan aktiviti judi dalam talian secara haram.

Menceritakan bagaimana dia boleh terpedaya hingga ke Kemboja, Lisa, 23, (bukan nama sebenar) berkata dia terpesona dengan tawaran pekerjaan di negara ini yang dibaca dalam iklan di WeChat dan tanpa berfikir panjang wanita yang berasal dari Bintulu, Sarawak itu terus menghubungi nombor yang tertera dalam mesej berkenaan.

"Iklan itu menawarkan kerja di hotel lima bintang dengan bayaran gaji US$1,500 sebulan selain menyediakan kemudahahan hostel dan pengangkutan.

“Selain itu 'ejen' turut menyediakan tiket penerbangan percuma ke sini kepada sesiapa yang berminat,” katanya kepada Bernama News Channel sewaktu melawat tahanan itu di penjara semalam.

Beliau berkata keyakinan terhadap tawaran itu semakin membuak-buak kerana ejen terbabit kerap kali berkongsi gambar rakyat Malaysia yang telah tiba ke Kemboja terlebih dahulu dan memberitahu kononnya mereka juga akan bekerja di hotel yang sama.

"Gambar-gambar yang dikongsi sangat meyakinkan saya ketika itu. Pada fikiran saya, kalau mereka boleh pergi kerja ke negara orang kenapa tidak saya...lagi pula tiket penerbangan diberikan percuma," katanya.

Seminggu selepas itu sekitar pertengahan November tahun lepas, Lisa berlepas ke Kuala Lumpur dari Kuching, Sarawak sebelum menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap dan di sana seorang lelaki menunggunya di pintu balai ketibaan lapangan terbang dan membawanya ke banglo tiga tingkat di sebuah daerah di Siem Reap.

"Semasa tiba di banglo itu, terdapat sekitar lapan remaja wanita dan berbelas lelaki di dalam rumah. Mereka tidak kelihatan gusar malahan sedang menikmati makan malam yang disediakan seorang tukang masak wanita.

"Lebih menggembirakan saya pada masa itu ialah kesemua yang berada di situ berasal dari Sarawak dan mendapat tahu mengenai tawaran kerja hotel sama ada di media sosial atau ajakan kawan-kawan sekampung," katanya.

Keadaan mula mencurigakan apabila sepanjang dua minggu di rumah itu, tidak ada sesiapa dibenar ke mana-mana selain tukang masak dan ejen berkenaan yang sering keluar masuk menyebabkan penghuni banglo mula mendesak dan bertanya kepada ejen mengenai pekerjaan yang dijanjikan.

"Kami tak dibenarkan keluar rumah. Pintu juga dikunci dari luar. Bayangkan hampir tiga minggu saya dan yang lain terperap di dalam rumah. Ibarat terperangkap dalam 'penjara kecil’.

"Kami mula rasa bimbang kerana ada yang telah tiba lebih awal tapi masih belum bekerja.

“Kami desak dengan pelbagai soalan kepada ejen namun dia hanya minta kami bersabar kerana kononnya pihak hotel masih belum siap menyediakan dokumen pekerja asing untuk diberikan kepada mereka," katanya.

Namun, menurut Lisa segalanya berubah pada minggu ketiga setelah kesemua mereka dikejutkan dengan ketukan pintu bertalu-talu dari luar dipercayai pihak polis dan tukang masak yang kebetulan berada di rumah ketika itu meminta mereka turun ke aras bawah banglo serta bersembunyi di dalam satu ruang bawah tanah.

"Hampir tiga minggu saya di banglo berkenaan, itu pertama kali saya dan rakan-rakan menyedari terdapat satu ruang bawah tanah.

“Kami sangat panik dan hanya mengikut arahan tukang masak tapi pihak berkuasa menemui kami dan kami dibawa ke balai polis," katanya.

Lisa berkata selain serbuan di banglo itu, dia difahamkan pihak berkuasa turut menyerbu sebuah lagi premis yang menempatkan sebahagian lagi rakyat Sarawak yang menerima nasib sama seperti mereka.

Katanya setelah ditangkap pada 11 Dis dan bermalam di lokap, mereka dipindahkan ke Penjara Provinsi Banteay Meanchey.

"Saya menyesal kerana mudah percaya dengan tawaran kerja tidak masuk akal sedangkan di Bintulu walaupun gaji kecil, saya tidak berjauhan dengan keluarga,” katanya yang berharap dapat dibebaskan segera.

- Bernama

Lihat Komen
ADS