Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bossku' boleh menang di media sosial, bukan undi di Semenyih'

Bekas perdana menteri Najib Razak mungkin berjaya mencipta semula imej dan menjadi tokoh popular di media sosial dengan gelaran sebagai 'Bossku'.

Bagaimanapun, Institut Darul Ehsan (IDE) yang merupakan badan pemikir kerajaan Selangor berpendapat perkara itu tidak akan diterjemahkan sebagai undi kepada BN dalam pilihan raya kecil Semenyih pada 2 Mac.

Menjawab soalan mengenai pengaruh Najib, Timbalan Pengerusi IDE Mohammad Redzuan Othman berkata terdapat di kalangan ahli Umno masih menganggap bekas perdana menteri itu sebagai punca kekalahan BN pada pilihan raya umum yang lalu.

Oleh itu, beliau berkata Umno tidak akan menjadikan Najib sebagai jurukempen utamanya dalam pilihan raya kecil berkenaan.

"Mereka lebih cenderung tunjukkan Umno ini brand baru, imej baru. Mereka yakin dengan guna PAS daripada MCA, MIC kerana ini manfaat untuk dapat undi," jelasnya.

Redzuan juga berkata acara disertai Najib lebih ramai dihadiri di kalangan 'mat rempit'.

"Mereka datang untuk seronok dan berhibur.

"Perkara yang sama berlaku semasa kempen pilihan raya kecil Cameron Highlands, dia datang, berselfie dan muat naik (gambar) di media sosial. Dia bukan tokoh yang dominan.

"Saya yakin Umno tahu menggunakan Najib tidak akan memberi mereka undi," katanya.

Lihat Komen
ADS