Paling Popular
Terkini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengumumkan subsidi kepada jemaah haji yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama pada tahun ini kekal.

“Pada sidang media bari ini, saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi haji bagi jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji kali pertama, bayaran haji kekal RM9,980.

“Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran, Tabung Haji berusaha menanggung subsidi lebih daripada RM306 juta, ia susulan peringkat kos haji tahun ini sebanyak RM22,900 seorang berbanding RM22,450 pada musim haji yang lalu,” katanya.

Mujahid berkata demikian dalam sidang media di bangunan Tabung Haji, di Jalan Ampang, hari ini.

Mujahid menjelaskan, walaupun Tabung Haji mengalami defisit kewangan dan kini dalam usaha lakukan pemulihan, agensi itu masih tetap dapat menyerap kos ditanggung jemaah haji.

“Kita takut juga dalam kita memberi subsidi ia akan menjejaskan kewangan agensi, namun kita beri jaminan bahawa walaupun kita berikan subsidi, hal-hal berkaitan seperti hibah tidak terjejas,” katanya.

Tambah Mujahid lagi, dividen pelabur yang melabur dalam Tabung Haji masih tidak dapat diumumkan ketika ini, sebaliknya akan diumumkan diantara hujung Februari hingga Mac depan.

“Kita masih kekal keseimbangan, kita tidak buat serap yang ini, maka yang lain akan terjejas. Saya difahamkan pengumuman hibah kebiasaannya dilakukan antara hujung Februari," katanya.

Berkaitan kuota haji pula, Mujahid berkata jumlah 30,200 haji yang akan menunaikan ibadah itu tahun ini tetap akan dikekalkan.

Jelas Muhajid lagi pihaknya juga telah berunding dengan kerajaan Arab Saudi bagi meningkatkan jumlah kuota haji bagaimanapun, permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi buat masa sekarang.

“Perbincangan kita dengan mereka, kita berhujah penduduk Malaysia bertambah, kita minta tambah sebanyak 31,300 jemaah, maknanya kita minta kenaikan dalam 1000 lebih jemaah, tapi Arab Saudi tak dapat memenuhi, (katanya) belum lagi.

“Itu alasan, ada kekangan daripada mereka, kalau tidak, lebih ramai boleh pergi dan tempoh menunggu kurang,” katanya.

Lihat Komen
ADS