Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Saya memulakan kerjaya sebagai seorang peguam dengan menjalani chambering (pelatih dalam kamar) terlebih dahulu sebagaimana syarat yang dikenakan kepada mana-mana lulusan undang-undang yang ingin beramal sebagai advocate dan solicitor di Malaysia.

Tempohnya adalah sembilan bulan di firma guaman. Saya pilih sebuah firma di Butterworth, Pulau Pinang, tahun 1996.

Firma yang saya pilih itu banyak mengendalikan kes kemalangan, jenayah, litigasi sivil dan sebagainya. Tetapi kes yang lebih banyak adalah kes perjudian di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka (Common Gaming House Act).

Daripada seorang yang tidak pernah bermain daun terup apatah lagi berjudi, saya mula dengan kekoknya belajar apa itu daun terup, nombor, alat-alat judi dan jenis permainan judi.

Bos saya peguam berbangsa Cina yg terkenal di utara semenanjung sebagai peguam yang dikhususkan dalam kes judi, anak guam saya juga semuanya Cina yg ditangkap atas tuduhan berkaitan perjudian, dan polis yg menjadi saksi juga kebanyakannya adalah dari D7 (Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat).

Apabila perbicaraan untuk mensabitkan seseorang OKT (Orang Kena Tuduh), antara keterangan yang perlu diambil kira oleh mahkamah ialah keterangan pakar.

Pakar dalam kes judi lazimnya adalah seorang pegawai kanan PDRM yang diwartakan mengikut undang-undang selepas beliau menjalani latihan / kursus tertentu sebagai pakar judi. Bidang kepakaran juga pelbagai, antaranya judi ekor haram, dadu, belangkas dan sebagainya.

Ada ketikanya latihan kepakaran berkaitan judi ini dianjurkan oleh syarikat perjudian berlesen. Soalannya kenapa?

Jawapannya mudah. Di mana tempat yang paling sesuai untuk seseorang pegawai kanan PDRM menimba ilmu dan kemahiran berkaitan perjudian? Sudah tentu premis perjudian.

Sindiket perjudian tanpa lesen yang seringkali diserbu oleh pihak berkuasa adalah aktiviti yang banyak menjejaskan keuntungan syarikat perjudian berlesen. Apa kaitan antara sindiket perjudian haram dengan syarikat judi berlesen?

Judi tidak berlesen empat nombor lazimnya menggunakan keputusan yang sama daripada syarikat judi berlesen seperti Da Ma Cai 1+3D, Magnum 4D, Sports Toto 4D. Inilah yang membawa kepada kerugian yang besar kepada syarikat judi berlesen.

Contoh mudah, jikalau nombor 0094 adalah tempat pertama dari Da Ma Cai, maka nombor yang sama juga adalah tempat pertama dari sindiket judi haram.

Begitulah secara mudah dan ringkas untuk memahami kenapa ada syarikat judi berlesen menganjurkan / menaja pegawai pihak berkuasa latihan / kursus berkaitan perjudian.

Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membasmi sindiket judi haram yang menjadi saingan kepada judi berlesen. Tulisan ini belum menyentuh aspek halal atau haram dan integriti. Semoga bermanfaat.


AHMAD JAILANI ABDUL GHANI ialah peguam.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS