Isu lawatan delegasi PDRM ke Turki yang ditaja oleh syarikat nombor ramalan Da Ma Cai harus dilihat secara berhati-hati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof berkata lawatan itu juga perlu dilihat semula motif tujuannya sama ada untuk berseronok atau belajar.

“Semalam saya ada masa sidang media, saya rasa nanti kita serahkan kepada Kementerian Kewangan (untuk komen) tapi secara keseluruhan, kita kena berhati-hati.

“Cuma dia kena periksa balik, tengok prosedur bagaimana dan sebagainya. Apa dia punya tujuan (lawatan itu) dan sebagainya. Saya tak ada butiran jadi saya tak mahu komen sehingga pihak berwajib memberikan komen.

“Prinsip (lawatan) itu untuk apa, pergi untuk apa, berseronok-seronok ke, pergi belajar, pergi ambil pengalaman ke, apa? (Saya) tak tahu tapi kalau pergi dengan tujuan tertentu yang ikut undang-undang, ahlan wa sahlan (dialu-alukan),” katanya.

Mujahid berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media berkaitan subsidi haji di bagunan Tabung Haji, di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Mujahid turut meminta supaya kenyataannya tidak disalah tafsirkan berkaitan judi.

“Tapi jangan salah faham, dakwa saya kata tak ada apa dengan judi. Judi memang tak boleh, kena faham tu, jangan salah tafsir pula,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan lawatan sambil belajar Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dan 16 pegawai kanan polis ke Turki dibayar oleh Da Ma Cai.

Katanya, lawatan itu diluluskan Lembaga Totalisator - sebuah agensi Kementerian Kewangan yang mengawal semua perjudian lumba kuda di Malaysia.

Lim berkata Lembaga Totalisator mempunyai kuasa meluluskan tajaan tanpa perlu merujuk kelulusan Kementerian Kewangan.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata lawatan untuk belajar kaedah membanteras perjudian atas talian dengan tajaan lembaga itu.

Laman Sarawak Report pada 10 Februari lalu melaporkan bahawa kemungkinan sejumlah RM312,441 telah dibelanjakan untuk penerbangan kelas perniagaan dan penginapan lima bintang.