PRK SEMENYIH | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan bilik gerakan bagi memantau pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih.
Dalam kenyataannya, SPRM berkata bilik gerakan itu membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada PRK berkenaan.
Bilik gerakan yang beroperasi 24 jam itu akan ditempatkan Menara MPKj, Jalan Cempaka Putih.
Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui emel kepada [email protected] atau menghubungi di talian.
Dalam pada itu, SPRM juga mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).
Badan pemantau pilihan raya Bersih sebelum ini merekodkan 23 kesalahan dalam PRK Cameron Highlands bulan lalu, yang tertinggi dalam semua pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum ke-14.
Antara 23 kesalahan itu, 14 dilakukan oleh BN dan lima oleh Pakatan Harapan (PH).
BN antara lain didakwa melakukan salahguna kuasa, sementara PH direkodkan membeli undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon manakala hari pengundian ditetapkan pada 2 Mac.
