Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Gelombang dibawa Najib boleh menangkan BN, kata PAS

PRK SEMENYIH | PAS melihat BN mempunyai peluang cerah untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau melihat ada satu gelombang berlaku di kalangan pengundi, antaranya ketika kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak ke kawasan itu.

"Saya tengok ada satu gelombang yang berlaku, walaupun kita akan tengok sejauh mana akan diterjemah melalui peti undi.

"Kehadiran Najib sendiri di Semenyih dapat sambutan yang luar biasa di kalangan anak muda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Forum Murabbi Ummah di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di Kota Bharu, lewat malam tadi.

Semalam Malaysiakini melaporkan Zakaria Hanafi, diumumkan sebagai calon BN, manakala Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Muhamad Aiman Zainali sebagai calon.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mengakui persaingan pada PRK itu lebih sengit dan PAS akan mengerahkan jentera untuk membantu calon BN sebagaimana di PRK Parlimen Cameron Highlands sebelum ini.

"Saya fikir ia satu perubahan yang ditunjukkan secara jelas oleh para pengundi dan daripada senario yang ada itu tidak mustahil peluang BN untuk meraih kemenangan agak besar.

"Cuma persaingan agak lebih sengit dan kita harapkan Insya-Allah ia akan berjalan dengan baik sebagaimana PRK Cameron Highlands, tiada insiden tidak diingini berlaku," katanya.

Tambah anggota parlimen Kubang Kerian itu, jentera parti di antara Umno dan PAS sudah dibina bersama dan semasa memperkenalkan calon semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan turut hadir.

"Pada hari penamaan calon nanti, pimpinan PAS akan diwakili Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad serta Takiyuddin.

"Saya dan Presiden (Abdul Hadi Awang) tidak dapat hadir kerana mempunyai program lain namun yang pasti kita menyokong serta membantu calon BN memandangkan kita tidak bertanding," katanya.

Lihat Komen
ADS