Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berjudi depan skrin besar taktik baru sindiket perjudian

Ibarat menonton bola sepak, namun sebenarnya ia merupakan taktik terbaru sindiket perjudian yang menawarkan pelbagai jenis pertaruhan di skrin layar besar kepada kaki judi.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Rohaimi Md Isa berkata modus operandi terbaru itu dikesan menerusi Op Limau yang dijalankan di seluruh negara bermula awal bulan ini sehingga semalam.

"Di Ipoh, Perak, polis mengesan sindiket perjudian yang beroperasi di premis rumah kedai dua tingkat tanpa sebarang lesen perniagaan, di bahagian bawah mereka membuka aktiviti perjudian tradisional seperti permainan bola ping-pong (judi bola golek).

"Di tingkat atas pula, mereka menggunakan projektor untuk aktiviti perjudian simulator dengan projektor disambung kepada satu 'motherboard' (papan induk) yang diambil daripada mesin simulator perjudian," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata kaki judi hanya perlu menggunakan alat kawalan jauh untuk melakukan pertaruhan di hadapan skrin layar besar.

"Antara permainan pertaruhan yang popular adalah wukong, tembak ikan dan permainan slot maharaja," katanya.

Mengulas mengenai Op Limau, beliau berkata pihaknya menahan 1,035 warga tempatan melibatkan 965 lelaki dan 70 wanita berusia 20 hingga 68 tahun serta merampas wang berjumlah RM650,869.

"Sebanyak 176 serbuan dilakukan dalam Op Limau tahun ini berbanding 70 serbuan pada tahun lepas dan kejayaan ini hasil maklumat orang ramai," katanya.

Sementara itu, Rohaimi berkata pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membendung aktiviti judi dalam talian di negara ini.

"Kegiatan judi dalam talian ini agak sukar dibendung namun pihak polis akan menyekat laman web judi yang dikesan dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS