Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penerimaan bekas MP Umno dibimbangi hakis kepercayaan rakyat

Penerimaan tujuh bekas anggota Parlimen (MP) Umno ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibimbangi akan menghakis kepercayaan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata PH seharusnya menghomati keputusan rakyat yang menolak Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, selain tiada keperluan untuk menerima masuk MP tersebut.

"Jika keadaan berlaku seperti di Sabah iaitu pembentukan kerajaan baru tergantung selepas keputusan pilihan raya lalu, jelas ia boleh difahami. Tapi situasinya (kita) sudah ada majoriti (untuk membentuk kerajaan).

"Lebih baik untuk kita fokus kepada pentadbiran dan menghormati keputusan yang dibuat manakala Umno serta BN memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif," katanya kepada pemberita, hari ini.

Nik Nazmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pembukaan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu dan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung hari ini.

Beliau juga bimbang penerimaan anggota lawan ke dalam parti kerajaan akan menimbulkan persepsi kepada masyarakat khususnya golongan muda bahawa 'undi mereka tidak bererti'.

"Kita bimbang mereka berpandangan tidak bermakna jika mereka mengundi parti kerajaan atau pembangkang kerana akhirnya semua akan menjadi parti kerajaan.

"Saya juga kasihan kepada bentara Parlimen kerana tugas mereka yang perlu menukar kedudukan kerusi setiap kali Parlimen bersidang," katanya.

Nik Nazmi seterusnya menambah PH juga perlu memberikan komitmen kepada janji sebelum ini, sama seperti dalam melebarkan sayap Bersatu ke Sabah memandangkan kepimpinannya pernah menyatakan tidak akan ke negeri itu.

Kelmarin, media melaporkan tujuh MP menerima keahlian Bersatu daripada Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, iaitu Hamzah Zainudin (Larut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan D Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing).

Turut menerima keahlian itu ialah Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Mas Ermieyati Samsuddin (Masjid Tanah).

- Bernama

Lihat Komen
ADS