Malaysiakini BERITA

Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman lawat M'sia Ahad ini

Nurul Jannah Kamaruddin  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Aspek pelaburan berkaitan penapisan minyak dan petrokimia di Malaysia dijangka mendominasi perbincangan semasa lawatan rasmi Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman ke Malaysia mulai Ahad.

Ketua Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Mohd Redza Abdul Rahman berkata negara itu membuat pelaburan besar dalam bidang penapisan minyak di Asia untuk mengekalkan permintaan serta mengenepikan pesaing, sekali gus berkemungkinan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia Petronas (Rapid) di Pengerang, Johor akan meraih lebih banyak pelaburan.

Pada 2017. Aramco dari Arab Saudi, yang merupakan syarikat tenaga terbesar dunia, membuat pelaburan dalam jumlah amat besar iaitu US$7 bilion atau RM28.6 bilion (US$1=4.089) dalam Rapid.

Perkongsian Aramco-Petronas ditandatangani semasa lawatan Raja Arab Saudi Salman Abdulaziz ke Malaysia pada 2017 dan Isnin ini, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijadualkan merasmikan secara bersama Kompleks Penapisan Minyak dan Petrokimia bagi Pengerang Refining & Petrochemical (PRefChem) di Kuala Lumpur.

Aramco dilaporkan akan menjadi syarikat paling bernilai di dunia dan memiliki nilai pasaran antara US$2 trilion dan US$10 trilion.

Wawasan 2030

Arab Saudi, yang kini menjalani transformasi untuk mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak berdasarkan Wawasan 2030, boleh memanfaatkan kepakaran Malaysia yang telah mengorak langkah yang sama.

Putera Mahkota telah memperkenalkan Wawasan 2030 dengan matlamat mengurangkan kebergantungan Arab Saudi ke atas minyak di samping mempelbagaikan ekonominya selain mengutamakan pembangunan sektor perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan, infrastruktur, rekreasi dan pelancongan.

Wawasan 2030, yang dilancarkan pada 25 April, 2016 menyasar untuk meningkatkan hasil bukan minyak kepada US$160 bilion menjelang 2020.

“Pastinya, mereka boleh mempelajari banyak perkara daripada pencapaian Malaysia dalam mengurangkan pergantungan kita dengan minyak kepada 14 peratus pada 2018 daripada 41 peratus pada 2009,” katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas mengenai lawatan rasmi dua hari Putera Mahkota Arab Saudi ke Malaysia.

Kunjungan rasmi itu adalah yang pertama selepas dilantik sebagai Putera Mahkota negara itu pada Jun 2017.

Utusan khas Raja Salman, Turki Mohamed Fahd Al Saud bertemu PM, Oktober 2018.

Dalam perbincangan yang sama, Malaysia turut dijangka mahu mewujudkan kerjasama lebih luas bagi pengeskportan lebih banyak produk berasaskan minyak sawit ke negara itu di samping kuota lebih besar untuk rakyat Malaysia mengerjakan ibadah haji.

Mohd Redza berkata pemulihan harga minyak sawit mentah (MSM) yang kini bergerak di atas paras RM2,250 satu tan, akan menyumbang secara ketara kepada nilai eksport minyak sawit ke Arab Saudi yang lebih tinggi.

Beliau berkata, Malaysia juga sebagai negara pilihan yang memberi sumbangan besar dari segi perbelanjaan pelancong ke negara itu semasa mengerjakan ibadah haji dan umrah.

Arab Saudi merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Barat.

Pada 2018, eksport Malaysia ke negara itu, termasuk minyak sawit, produk sampingan minyak sawit, elektrik dan elektronik, peralatan serta makanan diproses, susut kepada RM3.8 bilion daripada RM4.2 bilion pada 2017, berikutan harga MSM yang rendah.

Rohingya, perdamaian Bangsamoro

Import dari Arab Saudi pada 2018, yang merangkumi antara lain, minyak dan bahan api mineral, kekacang, plastik, kimia organik, aluminium, sabun dan lilin, tembaga, jentera serta buah-buahan kering boleh makan, meningkat kepada RM17.9 bilion daripada RM10.7 bilion pada 2017.

Sementara itu, Pakar Geo-Strategik di Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan berkata selain menumpukan sektor perdagangan dan pelaburan, hubungan diplomatik antara Malaysia dan Arab Saudi juga akan terus mengukuh.

“Malaysia akan menzahirkan sokongan kepada kepimpinan Raja Salman dan untuk kerjasama geopolitik diperkukuh.

“Diharapkan Riyadh akan mengumumkan bantuan kewangan kepada pelarian Rohingya dan proses perdamaian Bangsamoro, yang menyaksikan penglibatan ketara Malaysia.

Sebelum ini, Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman bernilai RM9.74 bilion dengan negara itu berkaitan bidang pembinaan, pembangunan halal, aeroangkasa dan perkhidmatan haji.

- Bernama