Malaysiakini
BERITA

Hadi jelaskan pertemuan dengan Dr M

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Feb 2019, 4:16 petang

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bertujuan berbincang mengenai hal-hal pentadbiran.

"Lebih bincang penyelarasan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

"Isu Majlis Tindakan Ekonomi Negara, projek-projek ada di bawah kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya tiada percanggahan," katanya pada suatu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau juga mengesahkan kerajaan persekutuan bersetuju membayar royalti minyak kepada kerajaan Terengganu.

"Kita terima dulu dia bagi, yang potong-potong (hutang) tu bincang kemudian," katanya.

MP Marang juga memaklumkan perbincangannya bersama Dr Mahathir membuahkan hasil yang positif.

Permintaan PAS mahu bertemu

"Ya pentadbiran, berkait dengan pentadbiran. Positif ," katanya menjawab soalan wartawan jika hasil pertemuan tersebut boleh dikatakan sebagai positif.

Hadi menjelaskan pertemuan tersebut diatur atas permintaan pihak PAS: "Kalau kita minta dan mereka tidak bersetuju tidak jadi pertemuan."

Presiden PAS hari ini mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad di pejabat perdana menteri itu di Yayasan Al-Bukhari, Kuala Lumpur.

Pejabat Perdana Menteri memberitahu Malaysiakini, Abdul Hadi tiba di pejabat tersebut kira-kira jam 9 pagi dan kedua-dua tokoh berkenaan mengadakan pertemuan kira-kira 45 minit.

Menurut sumber menyertai pertemuan tersebut ialah Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Untuk rekod Takiyuddin dan Ahmad Samsuri boleh dianggap antara orang kepercayaan Abdul Hadi.

PRK Semenyih, antara Melayu dengan Melayu

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata PRK Semenyih berbeza dengan pilihan raya kecil Cameron Highlands kerana faktor parti yang bertanding.

"Cuma lainnya Semenyih ini lain daripada Cameron. Di Cameron PAS lawan DAP.

"Di Semenyih ini, bukan (nak cakap) perkauman, tapi pertembungan antara Melayu dengan Melayu," jelasnya.

Ketika ditanya PAS akan membantu kempen BN di Semenyih, Abdul Hadi menjawab: "Itu akan kita lihat."

"Nanti kita dapat maklumat terperinci daripada PAS Selangor.

"Apa yang penting kita mahu supaya kedudukan orang Melayu itu kuat dalam kerajaan," katanya lagi. 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.