Paling Popular
Terkini

Mungkin benarlah apa yang dikata Najib Razak - beliau seorang "pencuri hati rakyat".

Ia tergambar secara umum pada sambutan terhadap terhadap bekas perdana menteri itu semasa beliau berkunjung ke sebuah pasar raya di Semenyih beberapa hari lalu.

Di situ orang ramai bersesak-sesak menggerumuni Najib, sedangkan kehadirannya itu adalah untuk membeli beberapa barangan keperluan dapur saja.

Sambutan luar biasa itu juga jelas memperlihatkan bahawa bekas presiden Umno terbabit masih menjadi buruan rakyat meskipun beliau terpalit dengan pelbagai dakwaan salah laku dan rasuah.

Dan pastinya sambutan luar biasa itu dilihat sebagai sokongan moral yang sangat berharga daripada rakyat kepada Najib.

Tinjauan Malaysiakini mendapati kebanyakan mereka mengakui sokongan yang diberikan kepada anggota parlimen Pekan itu dibuat sebagai tanda protes terhadap pentadbiran kerajaan PH yang baru saja mentadbir sejak 10 bulan lalu.

Bagi Yazid Ismail, 71, kehadirannya sengaja dibuat untuk menyedarkan orang Melayu dan Islam bahawa mereka "ditipu PH" sebaik sahaja gabungan itu menang pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada Mei tahun lalu.

Tuduh tapi tak ada bukti

"Saya (hadir) nak bagi sokongan moral kepada Datuk Seri Najib, untuk sedarkan orang Melayu balik bahawa selama ini PH mempermainkan kita, menipu kita sepanjang masa sampai sekarang.

"Dan malam ini kita nak beritahu rakyat bahawa orang Melayu telah sedar bahawa kita dipermainkan oleh PH.

"Lebih-lebih lagi (dakwaan terhadap Najib) semua yang belum dapat dibuktikan, malahan sekarang banyak kes beliau ditarik balik.

"Jadi, kita nampak dia seolah-olah serang benda yang orang tak tahu. Kalau ikutkan perkara sebenar, ia tak dapat bukti. Bila tak ada bukti bagaimana nak disabitkan kesalahan," katanya.

Zaharuddin (kiri) dan Yazid

Sentimen sama dikongsikan Mohd Zaharuddin Mohamad, 62, yang mendakwa sambutan luar biasa kepada Najib adalah petunjuk daripada Allah bahawa orang Melayu-Islam harus bersatu.

"Sokongan kepada Datuk Seri Najib malam ini sangat luar biasa. Walaupun beliau dituduh macam-macam dan daripada apa yang kita tengok malam ini jelas memperlihatkan kesatuan Melayu-Islam di DUN Semenyih terus kukuh dan sedar bahawa kerajaan hari ini adalah sebuah kerajaan yang bercelaru.

"Dan malam ini Allah nak tunjukkan bahawa Dia nak menyatukan balik Melayu-Islam ini," katanya yang mengaku anggota PAS.

Terdahulu Najib tiba di pasar raya di Semenyih itu kira-kira jam 8.30 malam untuk membeli beberapa barangan keperluan dapur.

Bagaimanapun kehadiran beliau mendapat sambutan hangat apabila hampir 1,000 pengunjung pasar raya terbabit berkerumun sambil melaungkan takbir dan kata pikat "malu apa bossku" serta "bos kita".

Bagi Kamaruzaman Mohd Din, 47, yang merupakan pengundi DUN Semenyih pula, dia menyifatkan aura dibawa Najib adalah sebab kenapa anak bekas perdana menteri kedua itu harus terus disokong.

Perubahan mungkin berlaku

"Bagi saya aura dia (Najib) sangat kuat dan luar biasa. Walaupun saya akui dia terpalit dengan banyak dakwaan salah laku tetapi bagi saya, kita tak boleh nak komen apa-apa, sebab kita sendiri tak tahu siapa betul dan siapa salah.

"Tapi, apa yang saya tahu jasa beliau kepada negara sangat besar hingga kami rakyat susah nak lupa," katanya.

Roslan Basri, 46, yang turut mengakui kehadirannya di pasar raya itu sebagai tanda protes kepada PH.

Katanya walaupun Najib sudah didakwa di mahkamah, ia masih bersifat tuduhan dan belum dibuktikan.

Pada masa sama katanya sokongan kepada Najib masih banyak.

"Dan sokongan yang diberikan malam ini juga merupakan protes kepada PH kerana PH banyak memungkiri janji mereka," katanya.

Tambah Roslan, terlalu banyak perbezaan dirasainya sebaik sahaja negara ditadbir PH.

"Rakyat mahukan perubahan seperti dijanjikan PH sebelum ini, jika tidak PRK Semenyih akan memperlihatkan protes rakyat kepada PH.

"Berdasarkan sokongan yang diberi malam ini mungkin perubahan itu akan berlaku," katanya.

Pandangan bahawa protes rakyat itu akan merubah undi pengundi DUN Semenyih turut dikongsikan Yazid.

"Insya-Allah kita (BN) akan cuba dapatkan kembali kerusi ini dan ia menjadi harapan besar kepada pengundi Semenyih," katanya.

Malah, Mohd Zaharuddin berkata selaku anggota PAS dia akan memastikan anggota lain dalam PAS memberikan undi kepada calon BN pada 2 Mac ini.

"Sebenarnya mereka (PH) ini nak memerintah sahaja. Jadi, PRK kali ini kita akan pastikan kerjasama PAS-Umno.

"Kita tengok undi PAS pada PRU lepas adalah sebanyak 6,966 dan tugas PAS sekarang adalah untuk pastikan yang undi sebanyak 6,966 itu mengundi BN. Kita akan pastikan, malah kita akan cuba naikkan lagi 10 peratus," katanya.

PRK Semenyih dijadual diadakan pada 2 Mac ini. Kerusi berkenaan kosong ekoran kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor pada awal pagi 11 Jan lalu.

Dalam PRU ke-14 tahun lalu Bakhtiar merampas kerusi Semenyih dengan kemenangan selesa apabila mendapat 23,428 undi dan dipisahkan daripada pencabar terdekat dengan perbezaan 8,964 undi.

Lihat Komen
ADS