Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kotakan janji atau k'jaan akan tumbang - Dr Mahathir
Diterbitkan:  Feb 16, 2019 4:45 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, mana-mana kerajaan akan tumbang jika gagal mengotakan janji yang dibuat kepada rakyat.

Beliau berkata keadaan ini juga akan berlaku kepada kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN) berikutan kemenangan gabungan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Rakyat telah memutuskan bahawa sekarang adalah masa untuk pembangkang mengambil alih kuasa dan pembangkang telah membuat banyak janji. Jadi sekarang negara sedang memerhatikan kerajaan pembangkang ini melaksanakan janji-janji itu.

“Tetapi malangnya mereka (PH) mendapati diri mereka tidak dapat melaksanakan banyak janji mereka. 

"Jadi, kini bermula pusingan seterusnya untuk memperlekehkan kerajaan. Jika kerajaan ini berkuasa cukup lama, ia akan bertindak sama seperti kerajaan dulu.

"Ia akan mula menentang rakyatnya dan melihat kritikan terhadanya sebagai tidak boleh diterima. Dan kemudian takut hilang kuasa, mereka gunaka cara-cara lain untuk terus berkuasa,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada perasmikan Festival Demokrasi Kuala Lumpur 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Festival lima hari itu dianjurkan oleh Gerakan Pembaharuan Untuk Asia Tenggara (FORSEA).

Turut hadir, Menteri Pertahanan, ​​​​​​​Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Tinggalan kerajaan lama amat buruk

Dr Mahathir menegaskan bahawa usaha untuk menunaikan semua janji itu tidak mudah kerana sebahagiannya daripada situasi yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini amat buruk di mana langkah-langkah pembetulan dan pemulihan amat sukar.

"Tetapi rakyat ingin melihat perubahan sekarang. Sama ada mereka suka atau tidak, mereka perlu sabar dengan kerajaan sekarang kerana ia memakan masa untuk membetulkan segala salah laku oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Perdana menteri berkata sistem yang sesuai dan terbaik untuk menukar sesebuah kerajaan adalah melalui demokrasi sedangkan sistem lain tidak dapat membawa perubahan secara damai.

“Ia memerlukan kemahuan minda atau budaya kecuali perubahan yang berlaku hanya dengan sokongan rakyat. Di masa lalu, apabila ada kerajaan autoritarian, perubahan hanya berlaku menerusi revolusi, revolusi yang ganas, perang saudara yang boleh memusnahkan negara.

“Tetapi dalam proses demokrasi, sokongan kerjasama rakyat boleh membawa kepada perubahan kerajaan. Oleh itu, walaupun ketidaksempurnaannya namun ia masih menjadi sistem urus tadbir yang terbaik,” katanya.

Peralihan kuasa tanpa keganasan

Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH, berkata Malaysia telah berjaya menerapkan sistem demokrasi dalam pilihan raya umum yang lalu apabila rakyat mengundi untuk perubahan dalam kerajaan buat pertama kali sejak 61 tahun tanpa sebarang keganasan dan proses peralihan kerajaan berjalan dengan lancar.

“Kita menyaksikan perubahan kerajaan berlaku akibat proses demokrasi dalam pilihan raya. Biasanya, mereka yang berkuasa akan cuba mengekalkan kedudukan mereka walaupun berdepan dengan semua bantahan.

“Mereka akan melakukan semua perkara yang salah tetapi malangnya mereka tidak berjaya.

“Justeru, peralihan kuasa daripada kerajaan berusia 61 tahun kepada kerajaan baru ini telah dicapai tanpa keganasan. Tiada pergaduhan, kemusnahan dalam negara, tiada peperangan saudara atau apa-apa jua, sebaliknya sokongan padu kepada pembangkang.

“Kerajaan yang sekian lama memerintah terpaksa menerima hakikat bahawa mereka telah hilang kuasa,” katanya.

Dr Mahathir memberi peringatan bahawa sistem demokrasi ini tidak boleh diambil ringan kerana ia bukan sistem yang sempurna dan mempunyai banyak kelemahan yang boleh dieksploitasi.

Beliau menjelaskan apabila rakyat menukar kerajaan, kebersamaan dalam kerajaan baru untuk memerintah amat penting dan jika tidak akan wujud kekacauan serta tidak membawa manfaat kepada peralihan demokrasi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS