Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin PH jangan keluar kenyataan jejas muafakat - Shamsul
Diterbitkan:  Feb 16, 2019 4:51 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

PRK SEMENYIH | Pemimpin tertinggi parti komponen Pakatan Harapan (PH) diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menunjukkan ketidakmuafakatan sehingga memberi pandangan negatif rakyat terutama pengundi di Semenyih pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata kenyataan yang tidak senada antara pemimpin komponen parti PH juga akan mewujudkan krisis keyakinan pengundi kepada PH sekali gus boleh menggugat kedudukan PH untuk mengekalkan kemenangan bagi kerusi DUN itu.

Beliau berkata sebaiknya semua masalah atau isu berbangkit melibatkan parti komponen itu perlu dilakukan menerusi saluran dalaman yang ada agar ia dapat diselesaikan dengan baik dan berhemah.

"Kadang-kadang terdapat satu atau dua pemimpin dalam komponen PH yang terlepas mengeluarkan kenyataan yang memberi gambaran bahawa tiada kemuafakatan atau musyawarah dalam kalangan pemimpin terlibat tentang beberapa isu dan ia perlu dipantau.

"Justeru saya merayu kepada pimpinan tertinggi parti komponen PH supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang akan menunjukkan bahawa kita di dalam PH tidak ada muafakat sebaliknya kita perlu tunjukkan kepada pengundi bahawa kita berada dalam satu pasukan yang mantap," katanya kepada pemberita selepas Program Gotong-Royong Wabak Denggi di Taman Paya Dalam di Melaka, hari ini.

Terdahulu Shamsul yang juga Timbalan Menteri Industri Utama meluangkan masa lebih dua jam meninjau lokasi panas wabak denggi di taman berkenaan yang telah mencatatkan 27 kes dalam tempoh 20 hari sehingga hari ini berbanding hanya sembilan kes sebelum ini.

Mengulas lanjut, anggota parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata beliau yakin PH menerusi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhamad Aiman Zainali akan dapat mempertahankan kerusi DUN berkenaan sekali gus meraih majoriti yang lebih tinggi.

Beliau berkata ia kerana berdasarkan demografi penduduk di DUN tersebut, 69 peratus daripadanya ialah kaum Melayu dan mengikut kajian yang dilakukan di peringkat akar umbi, kelebihan lebih berpihak kepada PH.

Dalam pada itu, katanya PH Melaka akan menghantar kira-kira 1,000 petugas dari semua parti komponen parti itu untuk membantu jentera parti berkempen di PRK DUN Semenyih.

- Bernama

Lihat Komen
ADS