Nasib pekerja sambilan PBT tak terbela?
Seorang bekas ahli majlis Perbandaran Klang (MPK) mendakwa nasib pekerja sambilan yang bekerja dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) masih tidak berubah di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Menurut V Maneyvannan, tidak seperti pekerja tetap atau kontrak di PBT, pekerja sambilan tidak menerima beberapa faedah seperti kakitangan lain selain dibayar gaji secara harian.
"Kalau ada kerja ada gaji, kalau tak kerja tak ada gaji.
"Kalau pekerja kontrak, sekurang-kurang kontrak dengan majikan. Tapi dalam kes pekerja sambilan mereka tiada sebarang kontrak. PBT boleh memberhentikan mereka dengan notis 24 jam," tambah beliau.
Untuk rekod, terdapat tiga kategori kakitangan yang bekerja dengan PBT iaitu pekerja tetap, pekerja kontrak dan pekerja sambilan atau dikenali 'casual workers'.
Sama seperti pekerja tetap dan kontrak, pekerja sambilan terdiri daripada mereka yang melakukan kerja-kerja am sehinggalah tugas perkeranian.
Bagaimanapun, V Maneyvannan berkata status sebagai pekerja sambilan menyebabkan golongan berkenaan berasa pekerjaan mereka tidak terjamin selain sukar membuat permohonan pinjaman bank.
"Ada antara mereka bekerja sehingga lebih enam tahun sebagai pekerja sambilan tetapi masih tidak mampu membeli rumah kerana tidak layak mendapat pinjaman. Ada yang terjerat dengan along kerana kesusahan pinjaman bank.
"Prestasi pekerja sambilan ini dinilai oleh penyelia. Sekiranya tidak sehaluan dengan penyelia, mereka dihentikan serta-merta. Ini baru di MPK, saya percaya ramai pekerja sambilan dari agensi-agensi kerajaan yang lain," katanya.
Sehubungan itu beliau berharap kerajaan PH memberi perhatian serius terhadap isu terbabit.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Noor Ihsan Che Mat berkata pekerja sambilan diambil bekerja secara sukarela dan syarat itu turut dimaklumkan dalam surat tawaran.
"Pekerja sambilan boleh meletakkan jawatan dengan sukarela pada bila bila masa.
"Mereka tidak dilantik sebagai pekerja kontrak atau tetap kerana mereka tiada kelayakan akademik mengikut skim perkhidmatan," katanya ketika dihubungi.
Beliau turut mengesahkan bilangan pekerja sambilan di MPK setakat 15 Feb adalah seramai 49 orang.
"Selain gaji harian yang dibayar, pekerja sambilan juga diberi kelayakan untuk menuntut elaun lebih masa, rawatan perubatan di klinik MPK dan faedah-faedah lain seperti KWSP dan Perkeso," jelasnya.

