Hadi: Anak muda tak sedar jadi penentang Islam pada PRU14
Agama Islam pada hari ini terdedah kepada serangan melalui alam siber sehingga golongan muda secara tidak sedar turut menjadi penentang agama itu, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Memberikan contoh situasi pada pilihan raya umum lalu, Abdul Hadi berkata golongan muda dipergunakan oleh musuh Islam dan mereka berjaya apabila negara ini menyaksikan perubahan politik yang akhirnya didominasi bukan Islam.
"Contoh yang terdekat bagaimana pilihan raya lalu kita menyaksikan orang-orang Islam khususnya di kalangan generasi muda dipengaruhi oleh Whatsapp, oleh alam siber, tak sedar jadi penentang-penentang Islam - dipergunakan oleh musuh-musuh Islam.
"Sehingga berlaku satu perubahan politik yang membahayakan umat Islam di tanah air kita apabila pemerintahan didominasikan oleh orang-orang bukan Islam," katanya ketika berucap di Program Ijtimak Siber Malaysia 2019 di Kemaman, Terengganu hari ini.
Meskipun tidak menyatakan secara jelas pihak mana yang ditujukan, ia dipercayai merujuk kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang berjaya merampas kuasa dari BN pada PRU lalu.
Beliau berkata demikian apabila menyentuh mengenai bagaimana dunia hari ini menyaksikan serangan ke atas Islam dan pemimpinnya melalui fitnah teknologi maklumat sehingga memberi kesan negatif kepada agama itu.
Katanya, umat Islam yang terlibat dalam menentang agama Islam perlu kembali ke pangkal jalan dan berjuang menegakkan agama Islam.
"Kalangan orang-orang Islam yang diperalatkan oleh musuh-musuh Islam. Pada mereka yang berdosa, mesti kembali ke pangkal jalan.
"Mereka yang berada dalam saf perjuangan Islam, mesti menggunakan segala kemahiran dan kebolehannya untuk menyebar dan menegakkan Islam ini," katanya.

