Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salahuddin sedia menghadap Sultan Johor
Diterbitkan:  Feb 16, 2019 11:16 PM
Dikemaskini: 3:16 PM

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub sedia menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memberi penjelasan berhubung isu berceramah dalam sebuah masjid.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata sebagai rakyat Johor, beliau menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim kerana menitahkan beliau menghadap, lapor Berita Harian.

“Saya patuh (terhadap titah) dan ini adalah peluang terbaik saya untuk nyatakan dan perjelaskan segala-galanya kepada Tuanku.

“Saya masih menunggu bilakah masa saya boleh menghadap Tuanku dan selepas itu saya akan mengadakan sidang akhbar atau mengeluarkan kenyataan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis jamuan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pulai di Padang Bukit Indah, Taman Bukit Indah, Johor Bahru hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan kemurkaan terhadap tindakan Salahuddin yang dikatakan memberi ceramah dalam sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa peraturan di semua masjid di Johor tidak membenarkan ceramah diadakan kecuali mendapat tauliah dan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah agar Salahuddin segera mengadap baginda serta memohon maaf secara bersurat selain tidak mengulangi kesilapan itu.

Semalam, rakaman video menunjukkan Salahuddin berceramah dalam Masjid Kolam Air di Johor Bahru tular di media sosial.

Sultan Ibrahim juga bertitah supaya semua Pengerusi dan AJK masjid mematuhi peraturan Jabatan Agama Johor dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara itu tidak berulang.

Lihat Komen
ADS