Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Koperasi buka peluang orang ramai derma kit pengurusan jenazah
Diterbitkan:  Feb 17, 2019 9:31 AM
Dikemaskini: 1:31 AM

Sebuah koperasi membuka tawaran kepada orang ramai melakukan kerja amal dengan menaja kit pengurusan jenazah ke semua surau, masjid dan hospital di Selangor dengan sumbangan serendah RM10.

Menurut Koperasi Warga Hijrah Selangor Bhd (Kohijrah) melalui skim berkenaan seseorang boleh menyumbang serendah RM10 seorang untuk kit berharga RM190 seunit itu.

Apabila mencapai jumlah mencukupi kit tersebut - yang mengandungi kelengkapan bagi pengurusan jenazah lelaki dan wanita - akan diserahkan kepada masjid, surau atau hospital.

Pengurus Kohijrah Mohammad Syukri Ismail berkata sasaran mereka ialah menyerahkan 8,000 kit lengkap itu ke penerima yang ditetapkan.

“Kit lengkap untuk pengurusan jenazah lelaki dan wanita itu menawarkan harga lebih murah iaitu RM190 berbanding harga pasaran berjumlah RM250.

"Tidak hanya untuk anggota koperasi, sumbangan itu juga kini dibuka kepada orang ramai untuk bersama-sama melakukan kerja amal," katanya.

Menurut Mohammad Syukri Kohijrah menyasarkan kutipan sebanyak RM1.5 juta untuk membolehkan 407 masjid, 2,047 surau dan 10 hospital di seluruh Selangor menerima kit berkenaan.

Katanya, jika jumlah kutipan melebihi sasaran, sumbangan tersebut akan diperluaskan ke negeri lain.

“Buat masa ini kami memberi keutamaan kepada Selangor dan kami percaya ramai pihak mahu membantu meringankan urusan dalam tuntutan fardu kifayah ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS