Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng tak hairan jika Hadi kata PAS tak sokong Umno di Semenyih
Diterbitkan:  Feb 17, 2019 3:43 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

DAP masih menunggu jawapan daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS telah memutuskan tidak akan menyokong Umno dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata sekiranya kenyataan perdana menteri itu benar, beliau tidak berasa hairan kerana menyifatkan Abdul Hadi sebagai seorang yang suka berdolak-dalik mengenai kerjasama parti itu dengan Umno sebelum ini.

"Saya rasa (kenyataan) itu berdasarkan apa yang diumumkan perdana menteri semalam. Saya rasa kita tunggu Abdul Hadi untuk memberikan jawapan. Tapi sekiranya benar saya pun tak akan rasa hairan kerana memang sudah banyak kali (Abdul Hadi) berdolak-dalik sebelum ini. Ini pun bukan kali pertama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kompleks Kastam Seberang Jaya, di Butterworth hari ini.

Semalam, Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata PAS telah memutuskan tidak akan menyokong Umno dalam PRK DUN Semenyih.

Perdana menteri berkata perkara itu disuarakan Abdul Hadi yang bertemu dengan beliau di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur, kelmarin.

Abdul Hadi pada Jumaat dilapor berkata pertemuannya dengan Dr Mahathir adalah bagi membincangkan penyelarasan pentadbiran antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan.

Anggota Parlimen Marang itu berkata perbincangan itu turut menyentuh mengenai Wang Tunai Petroleum (WTP), Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan projek-projek Kerajaan Persekutuan dan Negeri agar tidak wujud sebarang percanggahan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS