Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP tawar hadiah RM10,000 untuk tangkap perompak
Diterbitkan:  Feb 17, 2019 3:57 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Demi mengheret pelaku jenayah ke muka pengadilan, Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng menawarkan insentif RM10,000 kepada sesiapa yang dapat menyalurkan maklumat berhubung insiden rompakan membabitkan seorang wanita di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras Khamis lalu.

Kata Lim, perompak terbabit - yang aksinya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dalam sebuah lif - adalah orang yang kejam.

“Pejabat saya menawarkan RM10,000 kepada orang ramai yang boleh membekalkan maklumat boleh dipercayai kepada pihak polis sekali gus membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan yang bertindak kejam terhadap wanita tersebut,” katanya.

Lim berkata demikian melalui ciapan di Twitter hari ini.

Untuk memudahkan maklumat tersebut disampaikan Lim juga memberikan alamat e-melnya untuk dihubungi.

“E-mel pejabat saya: [email protected],” ciapnya.

Setakat petang ini ciapan itu di ulang siar sebanyak lebih 475 kali.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi Khamis lalu, seorang wanita berusia 48 tahun cedera apabila dibelasah teruk sebelum diragut di dalam lif di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras.

Rakaman kamera tertutup (CCTV) berkaitan kejadian itu turut tular di media sosial.

Ia mendapat kecaman hebat netizen yang mendesak agar penjenayah itu ditangkap segera dan dikenakan hukuman berat.

Lihat Komen
ADS