Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP Sabah sepakat sokong keputusan Shafie
Diterbitkan:  Feb 17, 2019 4:02 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

DAP Sabah sepakat berada di belakang Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal selaku ketua kepimpinan kerajaan negeri dan akan menyokong apa sahaja keputusan dibuat berhubung pendirian Parti Bersatu untuk melebarkan sayap ke negeri di bawah bayu itu.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt berkata partinya yakin Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan berkeupayaan mengendalikan isu itu dengan baik.

“Kami tahu beliau (Mohd Shafie) mampu mengendalikan isu ini dan kami sudah tentu akan berada di belakang beliau dalam apa juga keputusan yang dibuat (mengenai kemasukan Bersatu ke Sabah),” katanya.

Stephen yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran DAP Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Turut hadir memeriahkan rumah terbuka itu ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang, Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin dan Ketua Wanita DAP Sabah Jannie Lasimbang.

Stephen diminta mengulas pengumuman Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berhubung persetujuan Bersatu untuk menubuhkan cawangan di Sabah.

Pada Jumaat, Dr Mahathir berkata keputusan berkenaan dibuat selepas anggota Umno Sabah yang bertindak keluar parti tidak mahu menyertai Warisan, sekutu Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Stephen berkata, kemasukan Bersatu ke Sabah dilihat mampu memberi kesan kepada PH, namun, DAP menyedari keputusan Bersatu itu tidak boleh dihalang kerana ia adalah hak mereka.

Bagaimanapun, Stephen berkata, DAP Sabah tidak bersetuju dengan tindakan Bersatu mengambil bekas pemimpin UMNO menyertai parti itu, dan buat masa sekarang, beliau belum dapat memberi gambaran bagaimana kerjasama antara DAP dan Bersatu sebagai parti komponen PH di Sabah kelak.

Sementara itu, Lim tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu sebelum mendengar kenyataan daripada Mohd Shafie.

Terdahulu, seramai 200 anggota Umno dan Parti Bersatu Sabah (PBS) cawangan Matunggong menyerahkan borang keahlian menyertai DAP Sabah kepada Lim dan Stephen.


-- Bernama

Lihat Komen
ADS