Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengabaikan kebajikan pesakit serta staf Mawar Medical Centre dan hanya tertumpu terhadap aspek perundangan susulan penutupan premis itu pada 14 Februari lalu.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata isu pelesenan yang dihadapi oleh Mawar Medical Centre berpunca dari masalah dalaman yang membawa kepada perletakkan jawatan kesemua doktor pakar yang berkhidmat di premis itu.

"Pengerusi Mawar Medical Centre/Pusat Hemodialisis Mawar, Chua Lay Ping menghantar surat rasmi kepada pejabat saya pada 11 Februari 2019," katanya.

Dalam surat berkenaan katanya pengerusi premis itu menyatakan disebabkan tiada pendapatan, gaji bulan Februari 2019 tidak dapat dikeluarkan; ketiadaan kakitangan hadir kerja akan menyebabkan pesakit dialisis tidak dapat menerima rawatan yang rapi; dan premis memohon kementerian menempatkan semua pesakit ke pusat hemodialisis yang lain dengan segera.

"Pihak premis juga telah menampal notis untuk memaklumkan bahawa rawatan dialisis hanya akan disediakan sehingga 14 Februari 2019 sahaja dan pesakit diminta membuat perancangan sendiri untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Dr Dzulkefly berkata kementerian tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa bertindak dengan pantas demi menjaga kemaslahatan semua pesakit.

"Kementerian menafikan bahawa tindakan aktiviti penguatkuasaan di ambil secara terburu-buru tanpa memikirkan kebajikan pesakit dan staf premis itu.

"Malah, tindakan-tindakan oleh pihak premis sendiri yang telah menyegerakan keperluan untuk aktiviti penguatkuasaan dijalankan," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga menyangkal dakwaan bahawa pegawai penguatkuasa kementerian tidak membenarkan staf premis untuk mengambil barangan peribadi mereka dan mengarahkan staf untuk tidak hadir bekerja pada 15 Februari 2019.

- Bernama