Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri hadir prosiding inkues Adib
Diterbitkan:  Feb 18, 2019 1:02 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

INKUES ADIB l Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hadir ke Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini untuk mendengar prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau dilihat mengikuti perkembangan prosiding inkues itu yang bermula 10.30 pagi di ruang galeri mahkamah berkenaan.

Zuraida kemudian meninggalkan mahkamah kira-kira pukul 12 tengah hari.

Terdahulu, ketika ditemui pemberita, Zuraida berkata beliau hadir ke mahkamah untuk mendengar keterangan saksi awam yang akan dipanggil pada hari ini.

Sehingga kini, seramai sembilan saksi telah dipanggil memberi keterangan sepanjang enam hari berlangsung prosiding inkues yang didengari di hadapan Koroner Rofiah Mohamad sejak Isnin lepas.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

- Bernama

Lihat Komen
ADS