Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon PH: Tiada manifesto, cuma mahu perjuang isu hospital

PRK SEMENYIH | Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih Muhammad Aiman Zainali berkata beliau tidak mempunyai manifesto khusus bagi kempennya.

Jelas Muhammad Aiman, beliau sebaliknya merancang untuk memperjuangkan isu kemudahan untuk penduduk di Semenyih termasuklah pembinaan hospital.

"(Manifesto) tak ada, cuma saya ada perancangan saya. Untuk berjanji itu, tidaklah.

"Saya akan kongsikan tentang apa-apa perancangan saya, (cadangan) pembinaan hospital bukan manifesto, cuma akan diusahakan. Jika menang, itu (hospital) akan diperjuangkan," katanya ketika mengadakan lawatan di medan selera Pertubuhan Peladang Beranang, Semenyih, hari ini.

Muhammad Aiman berkata, cadangan pembinaan sebuah hospital di Semenyih disuarakan oleh masyarakat tempatan yang mahukan kemudahan itu disediakan kerajaan.

Dengan jumlah penduduk yang agak ramai, katanya, sudah tiba masa untuk kerajaan pertimbangkan hasrat masyarakat untuk mendapat sebuah hospital.

Katanya, dia dimaklumkan perkara itu ketika turun padang bertemu pengundi.

"Perlu ada satu hospital di Semenyih memandangkan di Hospital Kajang penuh, itu saya maklum.

"Pekan Semenyih, Beranang dan Bandar Tasik Kesuma membabitkan kawasan besar. Pengundi di sini pun sudah 54,000 orang. Beranang saja agak ramai, cuma ada klinik kesihatan saja di sini," katanya.

Muhammad Aiman berkata beliau akan mewujudkan jawatankuasa khas di setiap pusat daerah mengundi (PDM) bagi memberi maklumat berhubung insentif yang disediakan kerajaan Selangor.

Katanya, banyak insentif yang diperkenalkan kerajaan negeri, namun rakyat tidak mendapat maklumat mengenainya.

Oleh itu, tambahnya, penubuhan jawatankuasa itu diperlukan agar rakyat mendapat manfaat dengan program dilaksanakan kerajaan.

Lihat Komen
ADS