Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jika ikut kaedah Nabi Ibrahim, Nik Abduh layak dapat pahala'

Sebelum heboh Nik Abduh Nik Abdul Aziz ditularkan dia berbohong atas suaranya di audio, saya tanya dia, adakah itu suaranya?

Jawabnya: "Ya".

Saya tidak tanya mengapa dia tidak cepat-cepat mengaku. Kerana dia ada ilmu dan anak orang berilmu, tentu dia tahu apa yang dibuatnya.

Sesudah saman ke atas Sarawak Report selesai, dan sesudah didatangi SPRM, dia mengaku dulu dia berdalih. Suara di audio itu ialah suaranya.

Nik Abduh sudah menjelaskan mengapa dia tidak mengaku dulu, dan jika dalihnya dipersepsi bohong, mengapa dia berbohong?

Kerana ada ketikanya berbohong itu dibenarkan.

Kerana penjelasan Nik Abduh itu berdasarkan ilmunya dan tiada rekod sebelum ini dia tidak bercakap benar, tidak saya takwil perkembangan itu.

Saya tidak mahu dikata orang tidak peka dan tidak menghormati cakap-cakap orang berilmu.

Belum boleh dilabel

Apa reaksi orang akan penjelasannya itu adalah ada alam. Nabi Hud amat dihormati kaum Aad, justeru mereka tidak pernah berbohong.

Nabi Saleh pun amat dihormati kaumnya, Tsamud. Mereka dicap berbohong apabila membawa mesej nabi.

Kaum Quraisy menobatkan gelaran al-Amin kepada Rasululluh SAW justeru baginda sentiasa bercakap benar. Jika baginda sendiri ditempelak keluarga dan kaumnya kerana membawa mesej kenabian, tiada pelik Nik Abduh - yang bukan nabi - ditakwil.

Hanya yang jujur dengan ilmunya mengenal manikam.

Nik Abduh baru sekali mengaku berbohong dengan sebab-sebabnya. Berbohongnya dia kerana muslihat dan belum boleh dilabel pembohong.

Ada bohong yang dibolehkan, yang boleh jadi pembohong. Pembohong bercakap benar pun dikira bohong juga.

Gambar fail

Nasihat saya, elakkan daripada selalu berdalih. Melayu pun sudah kata:

Siakap senohong, gelama ikan duri;

Bercakap bohong, lama-lama mencuri.

Bermuslihat dibenarkan, tetapi sepanjang masa bermuslihat pun jadi payah juga.

Jika berdalih dikira berbohong, maka Nabi Ibrahim pernah tiga kali berdalih. Pertama ketika bapanya hendak membawa baginda ke pesta berhala. Baginda kemudian mengaku uzur, maka dibenarkan tidak ikut serta. Nabi Ibrahim ditinggal keseorangan, lalu dihancurkannya semua patung kecuali yang terbesar.

Bakal jadi orang penting

Kedua, ketika pengembaraan Nabi Ibrahim ke Mesir. Baginda memberi tahu pegawai imigresen, isterinya adalah adiknya. Jika diberitahu wanita itu adalah isterinya, nescaya ada gangguan daripada sang raja.

Kali ketiga, saya tak ingat.

Tiga bohong Nabi Ibrahim itu amat masyhur dalam sejarah para nabi sejak zamannya. Tipu baginda itu adalah benar, tetapi tidak boleh sesiapa kata ia bohong dan Nabi Ibrahim pembohong.

Ada ketikanya seseorang itu boleh berdalih kerana muslihat tertentu.

Sekarang Nik Abduh diperceceh oleh sekalian penceceh. Semuanya tidak mencerakin buah butir Nik Abduh dalam audionya. Yang ditular penafiannya dan kemudian pengakuannya. Kerananya dia didesak.

Belum ada yang mengira beliau sudah berdosa dengan apa yang dilakukannya. Tetapi mungkin juga dia tidak berdosa, sebaliknya ijtihadnya - jika ada kelayakannya berijtihad - dia beroleh pahala.

Memang bohong yang dibenar itu berpahala seperti berdalih Nabi Ibrahim. Jika ikut kaedah Nabi Ibrahim itu, Nik Abduh layak beroleh pahala.

Politik Nik Abduh ini adalah baru. Setakat sepenggal jadi ahli parlimen belum cukup untuk dijadikan ukuran. Tetapi beliau sudah mula menempah tempat politik sesuai dengan usia dan kebolehannya.

Tular atas yang terjadi belum meletakkannya di tempat sebenar dan selayak baginya. Tetapi sudah cukup jadi buah butir perbincangan orang, bagi menjadi antara orang penting yang diperhatikan 10 tahun akan datang.


SUBKY LATIF ialah bekas wartawan kanan dan veteran PAS. Artikel ini asalnya diterbitkan harakahdaily dengan judul Bohong Nik Abduh, Bukan Pembohong.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS