Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Tak timbul isu sukar mohon permit ceramah kempen

PRK SEMENYIH | Polis berkata tidak timbul isu sukar memohon permit ceramah oleh mana-mana pihak sepanjang tempoh kempen PRK Semenyih.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, pihaknya menyediakan pasukan khas untuk mengendalikan permohonan permit sepanjang tempoh itu.

"Polis wujudkan pasukan (untuk kendali permohonan) di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kajang tujuh hari seminggu, lapan pagi hingga lima petang.

"Jadi tidak timbul isu polis gagal keluarkan permit, melainkan atas faktor keselamatan atau hal lain yang membuatkan kita rasa permit tak boleh dikeluarkan," katanya ketika sidang media di IPD Kajang hari ini.

Pada hari pertama kempen 16 Feb lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan mengarahkan ceramah 'Pentas Anak Muda Harapan' anjuran Pakatan Harapan (PH) di tapak pasar malam di Semenyih dihentikan kerana tiada permit.

Sementara Sabri pula memaklumkan ceramah oleh BN turut dihentikan semalam atas kesalahan sama.

Beliau berkata ceramah yang berlangsung pada pukul tujuh petang itu melibatkan seorang penceramah yang menyampaikan ucapan di atas sebuah kenderaan SUV dengan menggunakan pembesar suara.

"Kita hentikan dan minta semua pihak bersurai," katanya lagi.

Tambahnya, setakat ini polis sudah mengeluarkan sepulu permit untuk ceramah dan progrm politik di Semenyih.

Katanya, ia melibatkan empat permit untuk PH dan BN, dan dua untuk Parti Sosialis Malaysia (PSM), manakala calon bebas Kuan Chee Heng setakat ini belum membuat sebarang permohonan.

Ditanya sama ada polis berdepan masalah ketika menyuraikan ceramah yang tidak memiliki permit, Sabri berkata pihaknya mendapat kerjasama penuh pihak terlibat.

“Setakat ini semua masih akur dengan arahan polis. Polis pun sudah buat pertemuan dengan semua ejen parti (bagi menjelaskan) apa yang boleh dibuat dan apa tak boleh," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS