Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng digesa jawab dakwaan DAP mahu tikam belakang
Diterbitkan:  Feb 18, 2019 5:05 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir menggesa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tampil menafikan dakwaan DAP cuba menjatuhkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Isu yang lebih besar, benarkah DAP mahu tikam belakang dan jatuhkan perdana menteri melalui undi tak percaya kerana sudah hilang keyakinan pada Mahathir?

"Benarkah (Presiden) PKR Anwar Ibrahim dan (Naib Presiden PKR) Rafizi Ramli juga sanggup sokong kerana sudah tidak yakin Mahathir akan berikan perdana menteri pada Anwar?

"Jawab yang ini Guan Eng. Tidak perlu ganggu Abdul Hadi sebab bukan beliau puncanya tapi anda dan DAP.

"Benarkah Mahathir akan dijatuhkan melalui undi tidak percaya dari DAP dan PKR Anwar-Rafizi?" katanya dalam tulisan yang dimuat naik di Harakah Online hari ini.

Tambah Roslan dalam tulisannya, DAP bimbang hilang pengaruh apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diterajui Mahathir menerima bekas wakil rakyat Umno.

"Tindakan ini (menerima bekas wakil rakyat Umno) jika berterusan akan mengukuhkan kedudukan Bersatu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan mengecilkan dominasi DAP dan wakil-wakil bukan Islam dalam kerajaan," katanya.

Tambah Roslan lagi, PAS sanggup bekerjasama dengan sesiapa pun untuk "menegakkan kerajaan yang dominan Islam".

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata persetujuan bertulis dalam perjumpaan antara Mahathir dan pemimpin PAS sebenarnya adalah draf ikrar menyokong Mahathir jika parti komponen PH memulakan undi tidak percaya terhadap perdana menteri itu.

Selain Takiyuddin, pemimpn PAS lain yang hadir perjumpaan dengan Mahathir ialah Abdul Hadi dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar.

Lihat Komen
ADS