Paling Popular
Terkini

PRK SEMENYIH | Dulu benci, kini sebaliknya - itu yang diakui tokoh wartawan dan bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Subky Latif, mengenai sikapnya kepada Umno.

Beliau yang juga pengerusi kumpulan veteran PAS berkata orang Melayu akan rugi jika tidak menyambut kerjasama yang diadakan di antara Umno dan PAS.

Kata Subky beliau tidak pernah berjumpa dengan saat yang paling menyenangkan dalam sejarah politik negara sejak lebih 60 tahun lalu dan perubahan itu berlaku dalam bentuk yang tidak pernah difikirkan.

"Saya tak pernah fikir untuk hadir pertemuan dengan Umno.

"Kalau dulu tengok Umno pun tak nak. Sekarang kalau Umno tak nak, saya hendak," katanya.

Kenyataan itu dibuat dua hari selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa PAS berjanji untuk tidak memberikan sokongan kepada Umno dan BN dalam PRK Semenyih.

Menurut Mahathir janji tersebut dipersetujui dalam pertemuan beliau dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang serta dua pemimpin kanan parti itu di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Serah pucuk pimpinan

Kenyataan itu mengejutkan banyak pihak kerana pada hari yang sama ramai pemimpin kanan PAS hadir memberi sokongan kepada calon BN semasa proses penamaan calon PRK Semenyih di Kajang.

Semalam Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa partinya tidak pernah berjanji untuk tidak menyokong BN, malah surat yang didakwa Mahathir sebagai perakuan itu cuma contoh.

Kenyataan itu diiringi dengan kemunculan Takiyuddin menjadi pengerusi mesyuarat bersama Umno di Semenyih malam tadi.


Baca Di kubu PAS, risau Hisham bertukar terharu


Menurut Subky beliau yakin keputusan PRK Semenyih akan mengulangi apa yang berlaku di Cameron Highlands.

"Ini (tanda) bermulanya politik orang Melayu dan orang Islam," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan mesyuarat bersama Kelab Veteran Umno di Semenyih petang tadi.

Kata Subky kerjasama yang ada kini sekali gus menafikan dakwaan Mahathir bahawa PAS akan meninggalkan Umno di Semenyih.

Katanya, kerjasama Umno dan PAS perlu memandangkan situasi politik negara sudah berubah dan penyatuan dua parti ini adalah impian rakyat Malaysia.

Sementara itu Setiausaha Agung Kelab Veteran Umno, Mustapha Yaakub, berkata PRK DUN Semenyih umpama "pertunangan" buat Umno dan PAS.

Katanya, orang Melayu dan umat Islam secara keseluruhannya amat teruja menantikan penyudah kepada kerjasama kedua-dua parti Melayu itu.

"(PRK) Sungai Kandis malu-malu kucing, terus ke Seri Setia nampak kemesraan, kemudian ditingkatkan di Port Dickson.

"Di Cameron Highlands umpama merisik, Semenyih umpama bertunang.

"Peranan kami (veteran Umno) ialah nak kahwinkan (satukan Umno-PAS). Bila nak kahwin, kita serahkan kepada pucuk pimpinan," katanya.

Lihat Komen
ADS