Paling Popular
Terkini

PRK SEMENYIH | Calon BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, Zakaria Hanafi menolak untuk menyertai program debat yang akan dianjurkan Bersih, 25 Februari ini.

Sebaliknya, jelas Zakaria, dia akan menggunakan tempoh 14 hari berkempen bagi bertemu pengundi.

"Tempoh 14 hari berkempen adalah masa untuk bertemu dengan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bagi mendengar masalah mereka.

"Buat masa ini kita nak jumpa rakyat dan pengundi DUN Semenyih.

"Kalau saya cakap (debat) nanti tapi tak ada bukti pun tak guna. Biarlah orang ramai yang menentukan dan lebih baik saya hati ke hati bersama mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat bilik gerakan BN di Taman Seri Haneco di Semenyih hari ini.

Bekas kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bagaimanapun bersedia mengikut jejak calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul untuk mengisytiharkan harta.

Bersih sebelum ini menjemput calon PRK Semenyih untuk menyertai sesi debat berkenaan yang dijadualkan pada 25 Februari di kampus University of Nottingham Malaysia.

Setakat ini, Nik Aziz sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai sesi debat tersebut.

Lihat Komen
ADS