Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Perkara utama yang perlu disedari ialah para nabi tidak pernah melakukan tindakan terkeji sehingga mencacatkan status mereka sebagai penyampai risalah dan wahyu.

Maka dengan sebab itu ciri-ciri nabi yang disepakati ulama ialah siddiq (benar), amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana).

Berbohong pula salah satu sifat tercela. Justeru, mustahil para nabi mempunyai sifat tercela. Apatah lagi sifat tercela itu menjadikan risalah kenabian akan diragui manusia.

Dengan sebab itu, menuduh nabi berbohong adalah cara untuk menyebarkan keraguan manusia terhadap risalah yang disampaikan oleh baginda.

Dalam al-Quran terdapat ayat yang menyatakan laknat terhadap orang yang berbohong.

Antaranya firman Allah:

* “Laknat Allah terhadap orang-orang yang berbohong” - (ayat 61, ali-Imran)

* “Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pembohong” - (ayat 28 surah al-Ghafir)

Dalam hadis pula, Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa amalan pembohongan membawa kepada kejahatan.

"Sesungguhnya kejahatan itu membawa kepada neraka. Sesungguhnya seorang lelaki yang berbohong pasti akan tercatat sebagai pembohong (al-Bukhari, hadis 6094)

Dalam hadis lain juga ada menyatakan bahawa antara ciri-ciri orang munafik adalah berbohong (Muslim, hadis 59).

Fahami hadis dengan betul

Justeru amat jelas bahawa amalan berbohong boleh membawa kepada kejahatan dan kejahatan itu menyebabkan pelakunya dimasukkan ke neraka.

Amaran itu dinyatakan secara jelas melalui al-Quran dan hadis.

Dengan sebab itu, amat mustahil sifat berkenaan wujud pada diri nabi – termasuk Nabi Ibrahim AS. Mendakwa Ibrahim berbohong, sama seperti mengatakan baginda melakukan kejahatan, melakukan amalan membawa ke neraka, melakukan amalan munafik dan sebagainya.

Semua itu adalah mustahil bagi sifat para nabi.

Apatah lagi dalam al-Quran ada ayat yang secara terang-terangan mengatakan Ibrahim ialah seorang nabi yang sangat benar (Surah Maryam, ayat 41).

Pada zaman dahulu, golongan Khawarij berkali-kali berhujah menggunakan hadis dengan pendekatan salah. Contohnya, hadis bahawa Nabi Muhammad ada berkata: “Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka jangan dia sakiti jiran tetangganya. Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya” (al-Bukhari, hadis 6018).

Memandangkan Khawarij adalah kalangan takfiri - iaitu menghukum kafir kepada pihak yang berbeza dengan mereka - justeru hadis di atas ditafsirkan tanpa mengikut metode dan manhaj yang betul.

Maka dengan itu, berdasarkan hadis tadi mereka terus menyimpulkan bahawa:

a. Tidak hormat tetamu dan menyakiti jiran adalah amalan dosa besar

b. Pelakukan dosa besar menyebabkan seseorang menjadi kafir, kerana hadis ini menyatakan "barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat", bermakna kalau tidak hormat tetamu dan sakiti jiran (dosa besar) adalah tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat (kufur).

Helah dan sindiran

Kesalahan itu bukan terletak pada hadis, tetapi pada cara pemahaman Khawarij. Ia berlaku kerana mereka literal untuk memahami hadis tersebut tanpa menggunakan metode yang betul.

Demikian juga dalam hadis berkaitan perbuatan Ibrahim yang didakwa berbohong. Cara pemahaman yang salah melahirkan fitnah terhadap baginda.

Ini sudah pasti bercanggah dengan prinsip dalam ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Berbohong merujuk kepada usaha seseorang pelakunya memperdaya agar orang yang mendengar itu tidak mengetahui hakikat sesuatu perkara.

Dengan sebab itu, helah dan sindiran tidak boleh dikatakan sebagai bohong. Ini kerana, helah (hiyal dalam bahasa Arab) ialah perlakuan yang tepat dengan hakikat sebenar, sedangkan sindiran (ta’ridh) pula melibatkan maklumat yang sudah berada dalam pengetahuan si pendengar.

Maka tindakan Ibrahim yang berkata kepada Namrud bahawa segala patung yang runtuh itu dilakukan oleh patung yang besar tidak boleh dikatakan pembohongan.

Sebaliknya ia boleh dianggap sindiran. Ini kerana, hal keadaan patung-patung itu memang tidak dapat berbuat apa-apa sudah dimaklumi kelemahannya oleh Namrud (tafsir Jalalain, halaman 426).

Contoh helah (hiyal) pula seperti Ibrahim mahu mengelak isteri baginda - Siti Sarah yang cantik - daripada direbut raja yang zalim. Andai raja itu tahu bahawa wanita itu ialah isteri Ibrahim, sudah pasti baginda akan dibunuh.

Tak mahu ahli tahu

Justeru Ibrahim pun mengajar cara untuk berhelah, iaitu dengan mengajar Siti Sarah, andai ada sesiapa mengenai siapa dia, hendaklah diberitahu bahawa dia adalah saudara Ibrahim.

Dalam hadis terbabit, terang-terang dinyatakan bahawa itu bukan bohong, tetapi helah, kerana Ibrahim berkata Siti Sarah memang saudarinya.

Siti Sarah ialah saudara seagama (Islam).

Ibrahim juga berkata bahawa baginda tidak tahu di atas bumi ini ada orang lain yang beragama Islam selain mereka berdua sahaja. (Muslim, hadis 2371)

Justeru, jika daripada hadis itu dijadikan hujah untuk mengatakan bahawa Ibrahim berbohong, pasti ia bukan sekadar fitnah, malah kelihatan seperti mahu menyebabkan manusia ragu kepada kenabian baginda.

PENUTUP

Nik Abduh ambil 'dedak' Umno. Itu cerita sebenarnya. Memandangkan sebelum ini Nik Abduh mahu mengelak hal itu daripada ketahui ahli PAS dan rakyat Malaysia, maka dia berbohong.

Bermakna, Nik Abduh berbohong sebab makan duit Umno.

Dalam kes Ibrahim, baginda tidak pernah makan 'dedak' Namrud. Justeru, menyandarkan pembohongan Nik Abduh kepada agama dengan menggunakan hujah kisah Ibrahim adalah kejahatan yang tidak boleh dimaafkan.


WAN JI WAN HUSSIN merupakan pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre. Tulisan asal rencana ini disiarkan di media sosialnya.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS