Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Latheefa bidas aduan terhadap RTM
Diterbitkan:  Feb 18, 2019 9:14 PM
Dikemaskini: 1:14 PM

Peguam Latheefa Koya menyifatkan tindakan pembantu menteri mempersoalkan RTM kerana tidak menyiarkan ucapan menteri pengangkutan dan menteri besar Negeri Sembilan, sebagai sikap angkuh.

Latheefa yang juga merupakan ahli PKR menegaskan RTM bukan siaran propaganda kerajaan dan menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo tidak mengulangi kawalan terhadap media seperti era BN.

"Ugutan pegawai akhbar itu agar tindakan diambil kepada pihak yang bertanggungjawab sangat angkuh. Tidak patut ada sebarang peraturan di mana ucapan ahli politik kerajaan perlu disiarkan.

"Pegawai akhbar menteri pengangkutan perlu sedar bahawa RTM bukan siaran propaganda kerajaan. Ia duit cukai rakyat, jadi kita mah laporan yang adil dan seimbang," kata Latheefa yang juga merupakan pengarah Lawyers For Liberty melalui akaun Twitternya hari ini.

Lim Swee Kuan yang merupakan pegawai Menteri Pengangkutan semalam mempersoalkan sama ada wujud cubaan mensabotaj kerajaan apabila RTM tidak menyiarkan ucapan Anthony Loke yang juga merupakan ahli parlimen Seremban dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dalam siaran langsung program rumah terbuka Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Seremban.

Lim turut berkata dia akan membuat aduan rasmi kepada Gobind.

Sementara itu, Gobind, ketika diminta berkata dia sudah meminta RTM memberikan laporan berhubung siaran langsung program itu.

"Saya telah meminta mereka untuk butirannya, terutama acara yang mereka diminta hadir, mengikut terma dan prosedur operasi standard.

"Saya perlu melihat perkara ini sebelum saya mengulas," katanya.

Lihat Komen
ADS