Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis selamatkan 14 wanita mangsa eksploitasi seks
Diterbitkan:  Feb 18, 2019 10:36 PM
Dikemaskini: 2:36 PM

Polis Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D7C) Bukit Aman menyelamatkan 14 wanita warga asing mangsa eksploitasi seks dalam dua serbuan berasingan di Johor, semalam.

Ketua Penolong Pengarah D7C, Maszely Minhad, berkata semua wanita berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an itu diselamatkan dalam Ops Pintas.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan, polis turut menahan 10 individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan.

Kata Maszely dalam operasi pertama kira-kira jam 11.45 malam di kawasan pembinaan Jalan Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor, polis menyelamatkan dua wanita Indonesia dan 11 wanita Vietnam.

Turut diberkas seorang lelaki tempatan yang juga pemilik premis terbabit, serta dua pekerjanya - seorang warga tempatan dan seorang warga Kemboja.

"Selain itu, lima pelanggan iaitu dua lelaki Indonesia dan tiga lelaki Bangladesh turut ditahan," katanya ​​​​​​​​​​​​​​ kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Maszely polis turut merampas wang tunai bernilai RM28,050 disyaki hasil perniagaan, dua telefon bimbit, 107 kondom dan satu buku yang disyaki mengandungi catatan kutipan harian.

Dalam serbuan kedua pada jam 12.50 tengah malam, katanya, ​​​​​​​polis menyelamatkan seorang wanita Vietnam dan menahan seorang sepasang warga tempatan di sebuah rumah di Taman Seri Tebrau, Johor Bahru.

Menurunyat, polis merampas wang tunai RM5,000 dan sebuah telefon bimbit dan suspek kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom).

- Bernama

Lihat Komen
ADS