Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Najib umpama kereta antik, orang suka tengok tapi tak beli'

Bekas perdana menteri Najib Razak diumpamakan seperti kereta antik, yang orang ramai suka lihat, namun tidak ramai yang akan beli.

Setiausaha Khas Presiden PKR, R Suresh Kumar memberi perumpamaan itu ketika menggambarkan populariti Najib yang dilihat meningkat kebelakangan ini.

"Pada pandangan saya populariti Najib adalah cuma buat sementara. Ia umpama kereta antik melintas di jalan raya, kita melihat ke arahnya, tetapi kita tidak akan membelinya. Kerana, kita tahu ia tidak akan tahan lama dan cepat rosak.

"Begitu juga Najib. Orang berpusu-pusu bertemu dan mengambil gambar dengannya, tetapi tidak siapa akan menyokong beliau kembali menjadi perdana menteri selain daripada 'macai' beliau," katanya kepada Malaysiakini.

Suresh berkata demikian sebagai mengulas kajian firma pengiklanan yang menyifatkan populariti pemimpin politik utama negara di media sosial berubah secara drastik selepas PRU ke-14, dengan bekas presiden Umno itu kini berada di depan.

Menurut kajian firma pengiklanan Nobleman Creations, ia diukur melalui analisis terhadap total engangement (interaksi keseluruhan) dan peningkatan "likes" di laman Facebook mereka, dengan menggunakan perbandingan data antara Mei 2018 dan Januari 2019.

Populariti ikut musim

Selain laman Facebook Najib, Nobleman Creations turut meneliti Facebook Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

"Dalam aspek reaksi keseluruhan, komen dan kongsian, laman Facebook Najib jauh lebih baik berbanding ahli politik utama yang lain.

"Sejumlah 6.7 juta reaksi, komen dan kongsian yang dikumpul Najib pada Januari lebih banyak daripada jumlah reaksi, komen dan kongsian diraih Mahathir sepanjang Mei lalu, ketika PRU diadakan," kata firma itu.

Bagi Mahathir pula, total engagement di laman Facebooknya telah menurun sebanyak 96.92 peratus pada Januari.

Sementara itu, mengulas lanjut, Suresh berkata, populariti seseorang pemimpin politik adalah ikut musim.

"Sebelum PRU ke-14, semua nak baca kenyataan Mahathir. Di PRK Cameron, Presiden PAS mengambil pentas utama di media sosial. Tetapi, kini kedua-duanya dikritik hebat.

"Sensasi media sosial ini sentiasa berubah. Buat masa ini, semua ingin tahu mengenai pendedahan Hakim Mahkamah Rayuan Dr Hamid Sultan Abu Backer, dana RM90 juta PAS dan rakaman audio Nik Abduh (Nik Aziz)," katanya.

Tambah Suresh, populariti Najib akan menurun semula selepas kes-kes beliau didengar di mahkamah.

"Pada pandangan saya, Najib cuba mendapatkan belas kasihan netizen sebelum beliau berdepan tuduhan-tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya," katanya.

Lihat Komen
ADS