Ibrahim Ali isytihar sedia jadi anak angkat PAS
Politik negara sekali lagi dikejutkan apabila bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali malam mengumumkan hasratnya mahu menjadi "anak angkat" kepada PAS.
Politik negara sekali lagi dikejutkan apabila bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Paduka Ibrahim Ali malam mengumumkan hasratnya mahu menjadi "anak angkat" kepada PAS.
Beliau juga menolak spekulasi sebelum ini yang menyebutnya akan berhijrah ke Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas faktor parti itu dianggotai pelbagai kaum. Malah perkara itu dikatakan sudah diberitahu kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan sebelum ini.
"Jadi anak angkat dahulu tak apalah. Tapi biar pun jadi anak angkat boleh naik atas rumah," katanya disambut laungan takbir ribuan yang hadir pada ceramah isu semasa di Markaz Tarbiah PAS Rantau Panjang, malam tadi.
Menurut laporan Harakahdaily.Net , Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut hadir di majlis itu di dalam reaksinya pula berkata, beliau bersedia menerima Ibrahim sebagai "anak angkat".
Hadir sama anggota Parlimen Rantau Panjang, Haji Abdul Fatah Haron, Adun Meranti, Ustaz Nusuruddin Daud dan anggota jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Kelantan, Nordin Noor.
Ibrahim berkata, buat sementara waktu cukuplah terimanya sebagai anak angkat sahaja.
"Dok di tangga pun tak apa. Kalau beri makan cukup ambo boleh tumpang buat rumah sikit. Kalau tak sir ambo pun tak apa? ambo boleh gi bertapa. Buat sementara ini biarlah ambo buat keputusan begitu," katanya.
Tokoh kontroversi
Ibrahim dipecat sebagai ahli Umno selepas bertanding sebagai calon Bebas pada pilihanraya umum lalu di kerusi Parlimen Pasir Mas. Beliau membawa diri bertanding calon Bebas selepas jawatannya diberi kepada Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman sebagai ketua penaja setelah berlaku persempadan baru kawasan pilihanraya.
Ibrahim dikenali sebagai tokoh yang kontroversi sebelum ini dan pernah dilabelkan sebagai "jaguh lompat" kerana menyertai banyak parti. Pernah menganggotai Berjasa, kemudian Semangat 46 dan kembali semula kepada Umno.
Beliau pernah menang di kerusi Parlimen Pasir Mas ketika bertanding di atas tiket Semangat 46 pada 1990. Kemudian beliau meninggalkan parti itu untuk menyertai semula Umno.
"Ketika di peringkat awal pembabitan saya dalam Umno, pernah beberapa kali tewas dalam pertandingan termasuk merebut jawatan ketua cawangan. Namun hasil kesabaran dan usaha gigih akhirnya saya menang jawatan Ketua Bahagian di Pasir Mas.
"Selepas beberapa penggal menerajui Umno Pasir Mas, jawatan yang dimenangi saya telah diberi percuma kepada orang lain pula. Ini menyebabkan saya marah dan tidak boleh terima," ujarnya.
Dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, 6 Disember lalu, sekali lagi Ibrahim bertanding di atas tiket Bebas, tetapi kecundang.

