Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersatu jadi Umno 2.0: Mungkin ya, mungkin tidak

Kebimbangan Parti Bersatu akan berubah perlahan-lahan menjadi Umno 2.0 kemungkinan besar tidak akan berlaku, kata seorang penganalisis politik.

Menganggap jangkaan itu sebagai tidak tepat, pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Mohd Azizuddin Mohd Sani, Bersatu bukanlah satu-satunya parti yang dianggotai bekas ahli Umno.

Katanya PKR juga ditubuhkan oleh sebahagian daripada bekas pemimpin dan anggota Umno namun terbukti hingga kini ia tidak menjadi Umno 2.0.

"Saya tak fikir Bersatu akan jadi Umno 2.0 walaupun (pemimpin) Bersatu itu asalnya memang daripada Umno, tapi tak semualah.

"Ramai juga orang muda yang bukan daripada Umno masuk Bersatu. Justeru nak cakap (Bersatu) menuju menjadi Umno 2.0 tak tepatlah," katanya kepada Malaysiakini.

Malah menurut Mohd Azizuddin isu itu tidak perlu ditimbulkan.

Katanya jika tindakan Bersatu menerima orang Umno menjadi anggota parti yang mendorong kebimbangan tersebut, hal sama pernah dilakukan PKR.

Azizuddin berkata demikian sebagai mengulas kebimbangan salah satu parti komponen PH yang dilihat semakin hampir menjadi Umno 2.0.

Nak jadi parti nasional

Kenyataan itu dibuat aktivis masyarakat dan peguam terkemuka, S Ambiga pada 17 Feb lalu berdasarkan dua contoh yang diberikannya.

Pertama kata Ambiga, Mahathir dilihat tidak menunjukkan kebimbangan terhadap beberapa pemimpin Bersatu yang mengemukakan idea-idea kontroversi.

Mahathir juga katanya tidak bertindak ke atas pemimpin parti yang dipertikaikan kelayakan akademik mereka.

"Ada salah seorang naib presiden yang berkata dia percaya kerajaan wajar memberikan mereka kontrak dan beliau (Mahathir) tidak menyanggah kenyataan tersebut dengan segera.

"Pada saya, ia adalah masalah kerana tokoh terbabit sebenarnya menggalakanrasuah (dalam kes tersebut)," katanya merujuk kepada kenyataan bekas pengerusi SPR yang kini menyertai Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman, pada Dis tahun lalu.

Pensyarah UUM, Mohd Azizuddin

Mengulas lanjut Mohd Azizuddin berkata kebimbangan Ambiga terhadap apa yang dikemukakan oleh Abdul Rashid yang juga naib presiden Bersatu tidak semestinya menunjukkan pertubuhan terbabit akan menjadi seperti Umno.

Katanya rasa bimbang itu juga tidak perlu ada apabila Bersatu mengumumkan untuk melebarkan sayap mereka ke Sabah sekali gus mungkin memberi saingan kepada parti setempat.

"Bersatu kena bertindak begitu kalau mereka mahu menjadi parti nasional. Kalau sekadar menjadi parti semanjung sahaja, susahlah.

"PKR, Amanah dan DAP pun dah masuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Patut di landasan betul

Cuma katanya sekarang Bersatu masih baru dan dipimpin perdana menteri sendiri.

Pada masa sama katanya tetap ada kebarangkalian orang Umno melompat masuk ke parti Bersatu.

"Jadi, itulah yang dilihat Bersatu macam nak jadi Umno 2.0 tapi saya rasa terlampau awal untuk menganggap Bersatu akan jadi Umno 2.0

Bagaimanapun, Prof Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berpandangan apa yang berlaku dalam Bersatu hari ini jelas menunjukkan gaya pentadbiran Umno-BN dan ia sangat mengecewakan.

Jeniri Amir

"Apa yang dilakukan oleh pengerusi Bersatu dan perdana menteri itu bukan sahaja mengecewakan tetapi saya fikir akan menjurus kepada gaya zaman Umno-BN.

"Beliau tidak mengotakan janjinya. Apa yang dikatakan, lain yang dibuatnya.

"Dan di sebalik semua ini saya fikir ialah ketamakan kuasa dan dia (Mahathir) sudah lupa akan semua janjinya untuk meletakkan parti politik dan Malaysia ini berada pada landasan yang betul," katanya.

Menurut Jeniri Mahathir melakukan pusingan U semata-mata untuk memastikan Bersatu menjadi parti yang dominan dalam PH tanpa mempedulikan perasaan parti lain.

Beliau turut memberi amaran, apa yang berlaku itu - jika diteruskan - boleh mencetuskan konflik yang serius dalam PH.

"Kalau Mahathir terus melakukan tindakan itu, bukan sahaja menjejaskan kredibiliti beliau sebagai perdana menteri, malah menyebabkan konflik yang tajam.

"Saya tak fikir rakan kompenan PH, khususnya PKR, senang hati dengan tindakan Mahathir yang seolah-olah mementingkan dirinya sendiri," katanya.

Gali lubang sendiri

Jeniri menambah Bersatu ghairah mahu menguatkan parti itu terutama selepas menyedari kedudukannya yang mungkin melemah apabila Mahathir berundur nanti.

Demi menjamin kekuatan yang ada bertahan, katanya, Bersatu rela menerima bekas pemimpin parti yang menjadi musuh mereka dalam politik sebelum ini.

"Saya amat percaya Mahathir punya motif untuk menguatkan Bersatu sebagai parti kompenan," katanya.

Bahkan, kata Jeneri, kebimbangan Ambiga itu perlu menjadi kebimbangan kepada seluruh rakyat Malaysia apabila ia tidak menunjukkan wajah Malaysia Baru yang diharapkan.

"Di mana Malaysia Barunya?

"Kalau inilah yang dilakukan, ini ialah Malaysia yang kembali kepada zaman Mahathir dulu. Percayalah, ini adalah langkah menggali lubang sendiri yang akan menjerumuskan mereka dalam masalah besar," tegasnya.

Sementara pemimpin PH yang dihubungi Malaysiakini turut menyatakan kebimbangan yang sama, tetapi ia tidak semestinya bersifat negatif secara mutlak.

Siti Mariah 

Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan), Dr Siti Mariah Mahmud, misalnya berkata kebimbangan itu adalah bagus untuk PH.

"Kita tak boleh menafikan perkara (kebimbangan) itu tetapi saya fikir ia bagus kerana ia akan menggalakkan perbincangan dalaman mengenai apa yang wajar dilakukan dalam PH agar tidak bercanggah dengan perjuangan bersama.

"Kita tidaklah terlalu bersangka buruk kerana apabila kita selalu bersangka buruk dengan kawan-kawan, maknanya kita akan mencari kesalahan dan sebagainya. Jadi, kita beri peluang," katanya.

Ong Kian Ming

Anggota Parlimen Bangi daripada DAP, Dr Ong Kian Ming, pula berkata semua rakan kompenan PH perlu berada di landasan yang sama dalam agenda mereka.

"Saya rasa semua parti kompenan dalam PH perlu bersepakat dalam agenda PH.

"Kalau Bersatu memang akhirnya menjadi Umno 2.0 ada kemungkinan besar rakyat akan menolak kami pada PRU ke-15 dan ini perlu dielakkan," tegasnya.

Kenyataan itu turut dikongsi pembangkang. Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pada hakikatnya Bersatu ialah parti serpihan Umno.

Asyraf Wajdi

Selepas Bersatu membentuk kerajaan bersama PH, katanya, ada ramai golongan oportunis dalam Umno mula melompat menjadi tapak baru.

"Mereka inilah (yang keluar Umno dan masuk Bersatu) yang dulunya menjadi duri dalam daging.

"Semasa dalam Umno mereka banyak terlibat dalam perebutan projek-projek kerajaan sehingga membudayanya politik wang dalam parti.

"Apabila Umno hilang kuasa, 'virus-virus’ inilah paling awal meninggalkan parti dan menyertai Bersatu.

"Kini mereka membawa wabak sama dalam parti Bersatu," katanya.

Bagaimanapun, tambah Asyraf, apa yang penting ialah Umno kini sedang melalui proses penyucian dan pembersihan.

"Saya berterima kasih kepada Bersatu kerana membantu Umno menjadi agen penyuci," katanya.

Lihat Komen
ADS